GEORGE TOWN: Anggota polis berpangkat koperal yang cedera parah akibat tertembak dirinya sendiri dalam satu kejadian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, telah dipindahkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) biasa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, bagaimanapun lelaki berusia 58 tahun itu masih berada dalam pemantauan pakar buat masa ini.
“Pembedahan ke atas lelaki itu juga belum dijalankan kerana dia masih di bawah pemerhatian pakar yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang Selasa lalu, mangsa yang bertugas sebagai penyelia pos kawalan sejak pukul 8 pagi hingga 4 petang, tidak pulang ke rumah selepas tamat syif dan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan parah.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu buat masa ini.
Jelasnya, setakat ini, bekas isteri mangsa juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis.
“Jadi, masih terlalu awal untuk kita buat kesimpulan mengenai punca kejadian kerana polis masih menyiasat,” kata beliau.
Ditanya sama ada prosedur operasi standard (SOP) berhubung penggunaan senjata api oleh anggota dan pegawai polis perlu diperketat susulan kejadian itu, Hamzah berkata, SOP sedia ada adalah mencukupi. – UTUSAN