PETALING JAYA: Bekas penolong Jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan berharap skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
Milligan turut berharap Malaysia terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak di negara ini terus berkembang
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain, staf, dan penyokong Malaysia dalam usaha untuk kelayakan Piala Asia 2027 dalam jangka masa terdekat.
“Saya juga berharap (Malaysia) terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Milligan mengakui beliau mempelajari banyak perkara biarpun hanya sempat bersama bersama skuad kebangsaan untuk tempoh dua bulan.
Beliau turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail diatas peluang yang diberikan kepada dirinya untun menjadi sebahagian dalam pasukan Harimau Malaya.
“Saya amat berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan Peter Cklamovski dan seluruh kakitangan pasukan kebangsaan.
“Diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan profesional seperti ini telah banyak mengajar saya.
“Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya hanya dapat harapkan dan impikan untuk mencapai dalam perjalanan saya ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Harimau Malaya kini dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027 dan impian itu hanya akan dicapai dengan menjadi juara Kumpulan F dalam saingan kelayakan kejohanan itu.-UTUSAN