Menuju bandar pintar pelaksanaan parkir pintar perlu

Menuju bandar pintar pelaksanaan parkir pintar perlu

PROSES pemasangan peralatan berkaitan pelaksanaan sistem parkir pintar bermula di beberapa lokasi strategik di Perlis. – MINGGUAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parkir pintar merupakan kriteria penting yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu di negeri ini bagi merealisasikan hasrat Perlis ke arah bandar pintar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ke arah merealisasikan hasrat tersebut, ia memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak khususnya rakyat negeri ini bagi menyokong usaha berkenaan sekali gus bakal menjadikan Perlis berkonsepkan bandar pintar, mampan, sejahtera dan selamat.

Meskipun timbul polemik di media sosial membantah pelaksanaan parkir pintar tersebut yang didakwa bakal mengundang kesesakan namun hakikatnya sistem itu bakal memudahkan pengguna dan lebih menjimatkan.

Fasa pertama, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan melaksanakan 6,000 tapak parkir di seluruh negeri ini terutama Kangar dan Arau. Sistem parkir pintar merupakan sebahagian daripada inisiatif MPK ke arah kemajuan di negeri ini dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi jaminan bahawa pelaksanaan tersebut tidak akan mengundang kesesakan.

Snatch-P pula merupakan penyedia sistem pengurusan parkir pintar itu yang dilantik MPK.

Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, kelebihan pelaksanaan sistem parkir pintar tersebut antaranya ia tidak akan menyebabkan kenaikan caj parkir sebaliknya lebih menjimatkan.

Katanya, keistimewaan lain adalah bagi 15 minit pertama adalah percuma selain caj parkir pula hanya serendah 60 sen sejam, paling murah di negara ini.

Beliau berkata, caj kenderaan yang diparkir dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang iaitu dalam tempoh 10 jam hanya sekitar RM6 selain dengan 15 minit pertama percuma ia akan lebih menjimatkan lagi.

AFFENDI RAJINI KANTH 

“Kita juga sedang berbincang dengan pengendali sistem agar tidak dikenakan caj dari pukul 8 sehingga 9 pagi. Kalau direalisasikan, caj parkir selama 10 jam itu hanya tinggal sekitar RM5.40 iaitu paling murah di Malaysia.

“Yang Kedua, bagi lah kita cuba dulu (pelaksanaan parkir pintar) yang mana ada tempoh percubaannya.Kita nak menuju ke arah negeri pintar, bandar selamat, mampan serta sejahtera dan satu kriteria penting adalah parkir pintar.

“Kita bukan perkenal terus secara drastik atau sewenang-wenangnya sebaliknya kita kaji apa kelemahan dan kelebihannya. Sebagai yang memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua MPK, saya tidak akan buat perkara yang boleh menyusahkan rakyat dan saya sendiri.

“Saya rasa yang membantah mungkin mereka sebenarnya masih kurang faham dengan apa yang bakal dilaksanakan itu. Orang cakap akan sesak namun sebenarnya palang akan buka dalam tempoh lima saat sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tambah Affendi, semua pihak perlu memberi kerjasama bagi memastikan pelaksanaan parkir pintar direalisasikan di Perlis khususnya Kangar.

“Jika semua berjalan lancar, kita akan menjadi bandar pertama menggunakan sistem-sistem yang hebat di kawasan yang kecil ini,” katanya.

Sementara itu, Affendi memberitahu, penggunaan sistem parkir atas bahu jalan tanpa palang (bay-lock) mempunyai beberapa kelebihan dan menjadikannya pilihan popular dalam pengurusan parkir.

Katanya, antara kelebihan sistem berkenaan adalah melibatkan penggunaan ruang yang lebih efisyen dan membolehkan kenderaan diparkir dengan sistematik.

Beliau berkata, kenderaan yang diparkir menerusi sistem itu juga akan lebih selamat daripada dicuri atau dirosakkan berikutan hanya pemilik sahaja boleh membuka bay-lock selepas pembayaran dibuat.

“Sistem ini juga memudahkan pengguna di mana mereka hanya perlu melakukan imbasan QR dan boleh membuat pembayaran tanpa tunai bagi membuka bay-lock tempat parkir secara automatik. Ia juga akan membantu dalam mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran lalu lintas lebih lancar di kawasan parkir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN