KUALA LUMPUR: Terdapat keluarga yang terpaksa tinggal di flat usang yang hanya mempunyai satu bilik dan satu bilik air selama berpuluhan tahun walaupun ibu negara sudah membangun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru itu kerajaan berusaha untuk mengubah nasib keluarga tersebut dengan memberikan mereka keselesaan di kediamannya sendiri.
Beliau berkata, usaha tersebut tidak bermakna kerajaan akan merampas tanah orang Melayu seperti mana didakwa sebahagian pihak memandangkan status tanah itu tetap tidak berubah.
“Rumah-rumah flat lama seperti Seri Perlis yang sudah uzur, sesak (dan) tidak ada kemudahan. Ini kita nak baiki, mengapa (usaha tersebut) dijadikan bahan politik?
“Kita bukan mahu ambil tanah orang Melayu, kita mahu ganti rumah satu bilik jadi rumah tiga bilik. Itu pun jadi isu kononnya rampas tanah, agenda Cina. Ini bukan soal kaum, ini soal maruah rakyat,” katanya dalam Majlis Peluncuran Kreatif Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini.-UTUSAN