PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengadakan pertemuan bersama atlet olahraga dan Olahraga Malaysia (MA) pada minggu hadapan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda di antara mereka.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata pihaknya sudah sedia maklum mengenai kemelut yang melanda selepas mengadakan pertemuan bersama badan induk tersebut yang diketuai oleh Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim pada dua minggu lalu.
Jefri berkata perbincangan di antara kedua-dua pihak perlu diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut tanpa menjejaskan sebarang keputusan yang telah diambil sebelum ini.
“Pertemuan ini kita akan buat dalam masa terdekat dan mungkin pada minggu depan. Semasa saya mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Shahidan, benda ini telah pun dibangkitkan tentang masalah latihan dan sebagainya.
“Saya rasa perkara ini apabila kita duduk dengan mereka (atlet) dan juga MA, kita akan dapat maklumat lebih jelas kenapa mereka mogok dan kenapa mereka tidak dapat menerima latihan yang disediakan daripada Robert ballard (Pengarah Teknikal MA).
“Kita kena duduk dengan mereka dulu, saya fikir untuk berlaku adil, kita perlu mengetahuI terdapat beberapa isu di sini. Jadi, kalau kita duduk semeja secara terbuka, saya rasa boleh diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Semalam, media melaporkan kem olahraga kembali panas apabila beberapa atlet pecut membuat keputusan memboikot sesi latihan mereka yang dikendalikan oleh Ballard sejak bulan lalu.
Dalam pada itu, Jefri berkata kontrak Ballard akan tamat pada Jun ini dan menjadi kelaziman untuk MSN menyemak semula kontrak jurulatih dan Indeks Prestasi Utama (KPI).
“Kontrak Ballard adalah dengan MA walaupun pembiayaannya datang daripada MSN, apabila MA ingin melanjutkan kontrak tersebut, mereka akan kembali kepada MSN untuk rundingan dan kami akan membuat semakan. Ini adalah proses yang kami lakukan untuk semua sukan,” katanya. – UTUSAN