PETALING JAYA: Penampilan sulung di Piala Sudirman nyata tidak menggoyahkan semangat juang pemain perseorangan negara, Justin Hoh apabila beliau menampilkan aksi meyakinkan untuk menghadiahkan mata kedua Malaysia menentang Australia, hari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu menundukkan pemain Australia, Shrey Dhand 21-9, 21-15, meskipun mengakui berdepan tekanan di set kedua apabila lawannya bangkit memberikan tentangan.
“Saya sangat teruja dapat main dalam kejohanan besar begini, lebih-lebih lagi ini kali pertama saya beraksi di Piala Sudirman.
“Saya rasa gembira dapat sumbang satu mata untuk Malaysia tapi saya juga rasa tekanan sebab lawan bermain agak baik,” kata Justin selepas perlawanan, hari ini.
Aksi di set kedua menjadi ujian sebenar apabila Justin hampir dikejutkan selepas lawan merapatkan jurang mata, memaksanya mengubah strategi permainan di saat genting.
“Saya buat beberapa kesilapan dan jurulatih minta saya tukar pelan permainan, jadi saya cuba tenang dan kawal semula permainan,” jelasnya yang tidak menyembunyikan rasa lega selepas menoktahkan kemenangan.
Nama Justin muncul selepas pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dibelenggu kecederaan buku lali kanan serta Ng Tze Yong yang masih belum menemui jalan mengembalikan prestasi kemuncaknya.
Skuad negara mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Australia selepas memulakan rentak kecemerlangan dengan membenam 5-0 ke atas Perancis pada Isnin.
Dua kemenangan itu menyaksikan Malaysia layak ke suku akhir dan dijadualkan menentang Jepun pada 1 Mei ini bagi perebutan juara Kumpulan C. – UTUSAN