HULU TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 12,110 kes penipuan dan kegiatan jenayah komersial di seluruh negara bagi suku pertama tahun ini dengan nilai kerugian RM573.7 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, jenayah telekomunikasi merekodkan statistik tertinggi dengan 5,214 kes diikuti jenayah e-Dagang (2,535 kes) serta pelaburan tidak wujud dengan 2 ,026 kes.
Katanya,, bagi kategori jenayah pinjaman tidak wujud pula merekodkan 1,404 kes, jenayah E-kewangan (711 kes) serta love scam sebanyak 220 kes.
“Jumlah kes bagi tiga bulan pertama tahun ini iaitu tempoh Januari hingga Mac meningkat berbanding tiga bulan terakhir tahun lalu yang merekodkan 10,715 kes kes dengan nilai kerugian sebanyak RM519.9 juta.
“Peningkatan kes ini ekoran kepesatan teknologi serta peralihan gaya hidup masa kini yang tertumpu kepada penggunaan aplikasi dalam talian.
“Kecerdasan buatan (AI) turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kes penipuan dalam talian,” katanya selepas mengadakan Lawatan ke Balai Polis Ajil, di sini hari ini.
Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan kes bagi suku pertama tahun ini Terengganu merekodkan 419 kes membabitkan nilai kerugian lebih RM6.6juta. – UTUSAN