Trump rancang adakan semula rundingan nuklear, gencatan senjata dengan Iran? - Utusan Malaysia

Trump rancang adakan semula rundingan nuklear, gencatan senjata dengan Iran?

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pasukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang rundingan penting dengan Iran minggu ini bagi membincangkan perjanjian nuklear baharu dan kemungkinan gencatan senjata antara Iran dan Israel, menurut laporan eksklusif oleh Axios.

Cadangan rundingan itu melibatkan pertemuan antara utusan khas AS, Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.

Walaupun belum dimuktamadkan, pertemuan ini sebagai usaha terakhir Trump untuk mengelakkan penglibatan ketenteraan langsung AS dalam konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Seorang pegawai kanan AS berkata, “Kami sedang mempertimbangkan pertemuan dengan Iran minggu ini,” sambil menambah bahawa rundingan itu mungkin menjadi penentu sama ada AS akan menyertai perang atau berjaya mencapai penyelesaian diplomatik.

Trump, yang kini menghadapi tekanan daripada sekutunya di Israel untuk menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, masih menegaskan bahawa beliau percaya perjanjian boleh dicapai.

“Saya fikir satu perjanjian akan ditandatangani. Iran akan rugi jika menolaknya,” katanya semasa Sidang Kemuncak G7.

Sementara itu, jurucakap White House menafikan laporan bahawa AS telah menyertai serangan Israel ke atas Iran, menegaskan bahawa tentera Amerika kekal dalam kedudukan pertahanan.

Rundingan ini dijangka berlangsung di Oman atau Oslo, dengan tumpuan kepada isu pengayaan uranium, pelucutan senjata, dan pengurangan ketegangan serantau.

Iran sebelum ini menyatakan bahawa cadangan AS tidak boleh diterima dan sedang menyediakan cadangan balas yang lebih “seimbang dan munasabah”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×