Rosak negara jika semua jadi ‘hero’

Rosak negara jika semua jadi ‘hero’

ANWAR Ibrahim melakukan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu kekal menjadi sebuah negara yang aman dan mampu menyelesaikan pertikaian dan permasalahan antara kumpulan dengan kaedah terbaik.

Sebaliknya, negara akan mus­nah jika semua pihak cuba men­jadi wira atau ‘hero’ kaum masing-masing tanpa mengira peruntukan undang-undang, kebenaran atau kepalsuan se­suatu isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara yang aman sahaja dapat memastikan keselamatan ma­syarakat terjamin.

“Jika semua hendak menjadi hero kaum sendiri, rosak negara ini. Hendak menjadi pemimpin Malaysia tetapi bercakap bagi pihak (tertentu) dan pertahankan sentimen benci kaum tanpa mengira hukum, benar atau pal­su. Hak itu bersandarkan hukum.

“Orang datang berniaga, me­labur. Sebab apa? Sebab negara ini aman. Mengehadkan dan cuba menghapuskan kegiatan jenayah, supaya orang boleh berjalan (pada waktu) malam dengan rasa selamat.

Keama­nan itu harus kita pupuk

“Saya tahu kadang-kadang reaksi daripada beberapa kalangan, baik daripada kelompok Islam atau Hindu yang agak melampau, tidak peduli, lontarkan (suara) di media sosial tanpa memikirkan adakah perkara itu atau faktanya benar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Selain itu, Anwar juga turut menuntut agar perbezaan dan percanggahan pendapat diuruskan dengan baik supaya tidak mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Katanya, perbezaan dan perbenturan idea serta pertelingkahan politik menyebabkan seolah-olah masyarakat Malaysia lebih banyak mencari permasalahan, menghukum dan membenci individu lain.

Katanya, ajaran agama Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak sedemikian, sebaliknya menuntut untuk mengangkat martabat kemanusiaan.

Jelasnya, Islam juga meminta umatnya melakukan dakwah dengan kesabaran, kebijaksanaan, kearifan, rahmah dan hikmah supaya penganut agama lain dapat membicarakan hal-hal baik tentang Islam termasuk masjid.

“Ini (supaya masyarakat bukan Islam) merasakan tidak ingin satu perseturuan, ini yang harus kita didik dalam (masyarakat) kita. Masjid (Masjid Madani) didirikan di tengah-tengah kota, saya mewakili pendapat seperti mana yang diulas oleh Abdul Rahman Ibnu Khaldun (iaitu) permulaan peradaban itu dari kota.

“Mencorak kota itu akan memberikan gambaran tentang bagaimana tamadun negara ini boleh dibangkitkan,” katanya

Sementara itu, bercakap mengenai Masjid Madani, Anwar berkata, keputusan muktamad mengenai pembinaan masjid tersebut dibuat selepas beliau memperoleh laporan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Masjid Madani seluas 12,142 kaki persegi akan dibina dengan empat tingkat yang dianggarkan boleh menampung sekitar 2,900 jemaah dalam satu-satu masa.

Pusat ibadah yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan acara, pejabat serta kemudahan-kemudahan asas lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×