Berjauhan dengan keluarga demi negara

Berjauhan dengan keluarga demi negara

50 pegawai dan anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan ke Naypyidaw, Myanmar bagi melaksanakan operasi mencari dan penyelamat (SAR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SUBANG: “Perasaan bercampur baur. Ada hiba, terharu dan tak sabar melaksanakan tanggungjawab membantu mencari serta menyelamatkan mangsa gempa bumi di Myanmar,” kata Koperal Mohd. Hazri Saidi.

Dia adalah seorang daripada 50 pegawai dan anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan ke Naypyidaw, Myanmar bagi melaksanakan operasi mencari dan penyelamat (SAR).

Operasi itu dilaksanakan susulan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda wilayah tersebut, kelmarin.

Koperal Mohd. Hazri Saidi

Mohd. Hazri, 38, berkata, perasaannya bercampur baur apatah lagi terpaksa meninggalkan isteri dan tiga anak lelakinya demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sebenarnya kami sekeluarga sudah rancang pulang ke kampung di Batu Kurau, Perak pada malam Aidilfitri (malam ini), tetapi menerima panggilan daripada atas bahawa saya akan dihantar ke Myanmar untuk membantu SAR bencana gempa bumi.

“Walaupun sedih kerana mungkin tak dapat menyambut Aidilfitri dengan keluarga namun ada juga perasaan tidak sabar untuk sampai di sana (Naypyidaw) bagi membantu rakyat Myanmar,” katanya sebelum berangkat ke Myanmar dengan menaiki pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, hari ini.

Mohd. Hazri berkata, pengalamannya selama 12 tahun dalam pasukan dan 22 hari berada di Turki ketika gempa bumi di negara tersebut tahun lalu digunakannya untuk membantu mangsa di Myanmar.

Sementara itu, seorang lagi anggota SMART, Avlyanie Moidi, 28, yang menjadi satu-satunya wanita yang menyertai misi SAR turut berkorban apabila terpaksa berjauhan dengan anaknya selepas dipilih menyertai operasi tersebut.

Avlyanie Moidi

Katanya, walaupun berat hati meninggalkan suami dan anaknya berusia dua tahun, tanggungjawab kepada negara menjadi keutamaan buat dirinya sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

“Sebagai seorang penyelamat, kami tidak boleh lari daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami untuk menjaga nama Malaysia.

“Sebagai seorang manusia, perasaan sedih itu adalah normal kerana berjauhan dengan keluarga tetapi apa pun keadaannya, saya perlu menghadapinya kerana ini adalah misi Malaysia,” katanya.

Kelmarin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter pada antara yang terbesar menggegarkan negara Asia Tenggara sekali gus melumpuhkan perkhidmatan lapangan terbang, jambatan dan lebuh raya khususnya di Myanmar.

Setakat ini, jumlah kematian yang direkodkan meningkat kepada 1,644 nyawa namun angka itu dijangka terus meningkat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN