Peningkatan kes jejas Indeks Persepsi Rasuah

Peningkatan kes jejas Indeks Persepsi Rasuah

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan kes rasuah berprofil tinggi yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memberi kesan negatif terhadap kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pendedahan membabitkan tokoh kenamaan dan rampasan jumlah wang berbilion ringgit mencetuskan persepsi bahawa budaya rasuah di Malaysia semakin membarah dan gagal dibendung.

Katanya, keadaan itu secara langsung menggugat keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap tahap integriti negara, sekali gus menekan kedudukan Malaysia dalam penarafan global.

“CPI sangat dipengaruhi persepsi. Bila kes besar melibatkan individu berprofil tinggi terbongkar, ia menimbulkan imej negatif yang boleh merosakkan reputasi negara. Soalnya, sejauh mana keberkesanan pendakwaan dan kadar sabitan mampu memulihkan kembali keyakinan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengheret dan menyita aset beberapa individu yang disyaki terbabit dalam skandal penyelewengan dana awam. 

Antara tindakan yang diambil termasuk membekukan 37 akaun membabitkan nilai lebih RM17.5 juta susulan penahanan empat individu, termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpangkat Jusa B.

Jais berkata, ketegasan SPRM bertindak tanpa pilih kasih walaupun satu langkah positif, namun masih tidak mencukupi tanpa reformasi undang-undang yang menyeluruh bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah.

Katanya, kerajaan wajar menyegerakan penggubalan Akta Ombudsman serta meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 supaya lebih menyeluruh dan bebas daripada pengaruh politik.

Beliau berkata, had  tempoh jawatan Perdana Menteri juga perlu dijadikan undang-undang bagi memastikan tadbir urus negara tidak disalah guna demi kepentingan individu atau kelompok tertentu.

“Kes rampasan wang beratus juta ringgit membabitkan bekas Perdana Menteri jelas membuktikan rapuhnya sistem politik kita. 

“Jika reformasi tidak segera dilakukan, persepsi negatif dunia terhadap Malaysia akan berterusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×