PETALING JAYA: Bayaran caj RM1 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bertujuan membantu bank-bank menampung kos operasi ATM, menurut Payments Network Malaysia (PayNet).
Ini merangkumi perkhidmatan Penghantaran Wang Tunai, keselamatan seperti penggunaan teknologi dakwat serta penyelenggaraan.
PayNet ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebagai pengendali rangkaian ATM Bersama (SAN) memberikan akses yang lebih luas dan mudah kepada pelanggan untuk mengakses dana mereka melalui rangkaian ATM pelbagai bank, selain ATM bank mereka sendiri.
Jelas PayNet, dengan pilihan pembayaran elektronik yang lebih luas tersedia kepada pengguna, transaksi pengeluaran tunai juga semakin berkurangan.
“PayNet memudahkan akses pelanggan bank kepada dana mereka dan menyediakan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan pengeluaran bukan tunai seperti Pemindahan Dana Segera, Pembayaran Kad Kredit dan Pinjaman (CCLF), serta Pengeluaran Tunai Rentas Sempadan di ATM bank yang terlibat.
“Pengeluaran tunai kekal percuma apabila menggunakan ATM yang dikendalikan oleh bank anda sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kini, terdapat lebih daripada 13,000 ATM dan 4,000 bank ejen di seluruh Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran tunai.
PayNet memaklumkan, pihaknya mengendalikan perkhidmatan pembayaran digital lain seperti MyDebit (kad ATM anda), MyDebit ‘Cash Out’ dan DuitNow, yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada pengeluaran tunai.
Dalam pada itu, pihaknya memaklumkan semua keuntungan lebihan yang dijana oleh PayNet sebagai penyedia utiliti pasaran kewangan negara dilaburkan semula bagi memastikan infrastruktur pembayaran domestik kekal tahan lasak, berdaya saing dan boleh diakses oleh semua.
“PayNet komited untuk membina ekosistem kewangan yang selamat, boleh diakses dan cekap untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendakwa pihak berkepentingan kewangan negara cuba mengelak daripada memberi maklum balas terhadap desakan pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang antara bank (interbank) di mesin ATM.
Pihak tersebut adalah Bank Negara (BNM), PayNet dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM).
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, sejak kempen pemansuhan caj itu dilancarkan, pihaknya telah menghubungi BNM, PayNet dan ABM bagi mendapatkan penjelasan, namun masih tiada jawapan diberikan.
Solomon berkata, caj RM1 tersebut tidak diperlukan sama sekali dan ia hanya lebih kepada langkah untuk organisasi kewangan mengaut keuntungan.
Katanya, NUBE menghargai sokongan pelbagai Ahli Parlimen dan pertubuhan pengguna yang mendesak pemansuhan caj ini serta berharap ia akan dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. – UTUSAN










