Bicara kes senjata api warga Israel berlangsung di Penjara Kajang

Bicara kes senjata api warga Israel berlangsung di Penjara Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Prosiding sebutan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang sebelum ini diadakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijalankan buat pertama kali di Penjara Kajang semalam.

Perbicaraan kes itu yang ditetapkan selama 14 hari bermula 19 Mac ini sehingga 26 Jun juga akan dijalankan di lokasi sama.

Terdahulu, beberapa pengamal media yang telah mendaftarkan kehadiran perlu menjalani saringan di tiga pos pengawal sebelum dibenarkan memasuki kawasan penjara manakala jurugambar dilarang daripada membuat liputan.

Wartawan juga ditempatkan sebuah bilik yang menunjukkan tayangan secara langsung prosiding yang dijalankan di kawasan berasingan.

Avitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh telah dipindahkan ke Penjara Kajang semalam sebagai persediaan untuk prosiding tersebut.

Prosiding semalam bermula pukul 10.30 pagi di hadapan Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh yang menggantikan Hakim Norina Zainal Abidin bagi pengesahan pelantikan jurubahasa Ibrani seperti yang dimohon pihak pembelaan.

Bagaimanapun, peguam bela, Jeffrey Ooi menolak jurubahasa diberikan atas alasan tidak cukup berkelayakan untuk berkomunikasi bersama tertuduh dan kemudian memaklumkan bahawa Avitan bersetuju meneruskan perbicaraan dalam bahasa Inggeris sekiranya tiada jurubahasa Ibrani berkelayakan.

Perkara tersebut telah menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mempersoalkan tindakan pembelaan itu yang mana telah menyebabkan perbicaraan kes itu tertangguh sejak 6 Januari lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Ting­gi telah mene­tapkan 28 Februari untuk pen­dengaran permohonan pem­belaan bagi menangguhkan perbicaraan kes itu dan sebarang perubahan melibatkan peguam dan jurubahasa juga akan ditetapkan selepas tarikh tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19; Sig Sauer P3205P; Cougar 8000FT; Glock 17 Gen4 Austria 9×19; M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan maksimum enam kali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN