KUALA LUMPUR: Seorang bekas Pengurus Besar anak syarikat Koperasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melibatkan wang syarikat berjumlah RM145,008 di dua mahkamah di sini hari ini.
Di hadapan Majistret M. S. Arunjothy, tertuduh, Ahmad Fazreen Kamarudin, 36, yang didakwa telah memindahkan sesuatu harta berjumlah RM75,008 milik Kop Logistik & Distribution Sdn. Bhd. di premis syarikat terbabit bertempat di Tingkat 3A Bangunan Koperasi Polis pada 29 Mac 2023.
Sewaktu kejadian, tertuduh merupakan Pengurus Besar Kop Logistik & Distribution.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat Kop Tradtech Sdn. Bhd. berjumlah RM70,000 pada 28 dan 29 Jun serta 3 Julai 2023 di Bangunan Koperasi Polis di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 14 tahun serta sebatan dan denda.
Kedua-dua prosiding dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’asnita Zaina’larifin dan Harvind Raja Gopal manakala Ahmad Fazreen diwakili peguam bela, Mohammad Asghar Nadjmi.
Ketika mengemukakan rayuan berhubung jaminan, peguam belanya merayu mahkamah melepaskan tertuduh dengan jaminan pada kadar minimum atas alasan anak guamnya tidak lagi bekerja selain perlu menanggung ibu bapa serta isteri dan anak yang memerlukan pembedahan.
“Sekiranya jaminan ditetapkan terlalu tinggi, tertuduh sememangnya tidak dapat dijamin kerana kekurangan wang.
“Tertuduh berjanji untuk hadir ke mahkamah pada setiap sesi dan bersetuju sekiranya mahkamah meletakkan syarat tambahan untuk menjamin kehadiran seperti penyerahan pasport,” katanya.
Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM11,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Mac ini. – UTUSAN










