BOSTON: Puluhan juta penduduk di sepanjang Pantai Timur berdepan salji tebal, disusuli suhu ekstrem yang melanda sebahagian besar negara dari Plains Utara hingga ke hujung Maine.
Amaran ribut salji yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mula berkuat kuasa di beberapa bahagian Mid-Atlantic hingga pagi semalam, dengan ramalan salji setinggi 15 sentimeter.
Amaran bermula di New England pada petang kelmarin, dengan beberapa bahagian Massachusetts, New Hampshire, Maine dan Connecticut menghadapi salji setinggi 25 sentimeter.
Ahli meteorologi dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Maryland, Marc Chenard, meramalkan sebanyak 70 juta penduduk berada di bawah amaran bahaya ribut musim sejuk dalam beberapa hari akan datang, termasuk di New England dan Mid-Atlantic.
Bandar besar seperti Philadelphia, New York dan Boston menyaksikan salji beberapa inci, dengan jumlah tertinggi berada di luar bandar utama.
Datuk Bandar New York City, Eric Adams menggesa penduduk bandar untuk menggunakan kereta api bawah tanah dan bas jika terpaksa melakukan perjalanan semasa ribut, bagi memudahkan pembersihan jalan.
Beliau berkata, penduduk yang memerlukan bantuan pemanasan atau paip beku boleh menghubungi 311 dan menasihatkan untuk prihatin dengan jiran sekeliling semasa cuaca ekstrem melanda.
Selain itu, salji lebih lebat akibat kesan tasik dijangka melanda bahagian negeri itu dari Isnin hingga pagi Rabu, dengan setinggi kira-kira 60 hingga 90 sentimeter, mungkin berlaku di beberapa kawasan termasuk Oswego di sepanjang Tasik Ontario.
Gabenor New Jersey, Phil Murphy, turut mengisytiharkan darurat untuk semua 21 daerah di Negeri Garden.
Amaran ribut salji berkuat kuasa untuk 10 daerah di bahagian utara negeri tersebut.
Bandar dan pekan membuka pemanasan untuk beberapa hari akan datang bagi melindungi orang ramai daripada suhu beku.- AP











