PETALING JAYA: Persatuan bas sekolah yang mengumumkan kenaikan harga secara terbuka boleh dikenakan tindakan kerana bertindak secara kartel.
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, tindakan persatuan perniagaan itu mengaburi mata rakyat dan mempromosikan amalan kartel.
Katanya, ia bukan sahaja boleh mempengaruhi harga pasaran, malah berisiko menjejaskan ekonomi dan membebankan hidup rakyat.
Menurut beliau, maklumat mendapati ada persatuan yang cuba menyamar keputusan mereka sebagai jangkaan kenaikan harga masa depan atau panduan harga, sedangkan ia sebenarnya adalah keputusan terancang berunsur kartel.
“MyCC tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana menyedari ia melanggar perundangan persaingan.
“Pengumuman sebegitu boleh dikategori sebagai perjanjian anti persaingan kerana ia mencerminkan keputusan ashli jawatankuasa persatuan yang juga pesaing dalam industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Pengangkutan campur tangan dengan tidak membiarkan kadar tambang bas sekolah naik bermula Februari nanti.
Ia berikutan Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) yang tetap akan menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2025 mulai Februari ini.
Mengulas lanjut, Idrus berkata, pengumuman harga yang dilakukan secara terbuka berfungsi sebagai isyarat kepada ahli persatuan lain untuk menyelaraskan tindakan kartel secara bersepadu.
Katanya, tindakan ini memberi gambaran bahawa persatuan cuba menyusun strategi secara kolektif untuk mengawal harga di pasaran, sekali gus merugikan pengguna yang bergantung kepada harga berpatutan bagi keperluan harian,” ujarnya.
“Taktik sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencetuskan kebimbangan kerana ia melibatkan sektor penting seperti pengangkutan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.
“MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan tanpa mengira saiz yang terlibat dalam perilaku kartel atau menggalakkan amalan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Idrus turut mengumumkan pindaan Akta Persaingan 2010 akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan bagi memperkasakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC terhadap amalan kartel.
“Pindaan ini akan membolehkan tindakan yang lebih berkesan dikenakan terhadap kes sabotaj ekonomi seperti kartel melalui penalti yang lebih berat,” katanya.
Selain itu, Idrus menyeru ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan kartel untuk melaporkan perkara tersebut kepada MyCC.
“Kami menyediakan saluran aduan melalui laman web rasmi MyCC untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dan kegiatan sebegini dapat dihentikan,” katanya.
Tambah beliau, jawatan atau keahlian persatuan bukanlah lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel yang menekan pengguna dan menjejaskan persaingan sihat dalam pasaran.
“MyCC komited memastikan pasaran tempatan kekal adil dan telus bagi melindungi kepentingan pengguna,” jelasnya. – UTUSAN










