WELLINGTON: New Zealand akan memperkenalkan peraturan visa yang lebih longgar untuk membolehkan pelancong bercuti sambil bekerja dari jarak jauh semasa melawat negara itu.
Menteri Imigresen, Erica Stanford berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi.
Jelasnya, visa pelawat akan diubah bermula semalam bagi membolehkan golongan pelancong yang datang sambil bekerja di negara itu.
“Ini adalah pasaran pelancong baharu yang boleh dimanfaatkan oleh New Zealand.
“Kami mahu orang melihat negara ini sebagai tempat yang ideal untuk dikunjungi dan bekerja pada masa sama,” katanya lapor AFP.
Bagaimanapun, Stanford berkata, beliau tidak pasti berapa ramai pelancong yang akan mengambil peluang berkenaan.
Katanya, visa nomad digital menjadi ‘sangat popular’ di luar negara dan New Zealand mensasarkan individu yang ingin bekerja dan melancong di negara ini.
“Saya menjangka mereka akan berada di sini lebih lama daripada biasa, mereka akan berbelanja lebih banyak kerana berada di sini untuk tempoh yang lebih lama.
“Ini adalah perkara yang benar-benar kami harapkan dan mereka jatuh cinta dengan tempat ini,” katanya.
Ekonomi New Zealand mengalami kemelesetan teknikal pada suku ketiga tahun 2024, dan kerajaan sedang mencari cara untuk merangsang pertumbuhan.
Sektor pelancongan belum pulih sepenuhnya selepas penutupan sempadan semasa pandemik Covid-19, dengan jumlah pelawat antarabangsa hanya sekitar 86 peratus daripada paras tahun 2019.
“Cita-cita Kerajaan adalah agar peraturan visa baharu ini menjadikan New Zealand terkenal sebagai tempat perlindungan yang mesra untuk bakat dari seluruh dunia
“Kami berharap dalam beberapa kes, ia akan mendorong individu tersebut dan syarikat yang mereka wakili untuk mempertimbangkan menjalankan lebih banyak perniagaan dengan New Zealand pada masa depan,” kata Menteri Pertumbuhan Ekonomi, Nicola Willis.











