BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan timur dan selatan Lubnan pada Ahad, yang didakwa merupakan lokasi Hezbollah termasuk laluan penyeludupan di sempadan Syria-Lubnan.
Serangan tersebut meningkatkan ketegangan terhadap gencatan senjata rapuh antara Israel dan kumpulan bersenjata yang disokong Iran, Hezbollah, yang dikuatkuasakan sejak 27 November lalu.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan, pesawat Israel menyerang kawasan di pinggir Janta, wilayah Baalbek di timur, serta kawasan berhampiran Nabatieh di selatan negara itu.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut sama ada terdapat sebarang korban jiwa.
Menurut kenyataan tentera Israel, pihaknya menyerang beberapa sasaran yang sebelum ini telah dimaklumkan kepada pemantau gencatan senjata sebagai ancaman.
“Antara sasaran yang diserang termasuk tapak pelancar roket, lokasi ketenteraan dan laluan penyeludupan senjata di sempadan Syria-Lubnan yang digunakan oleh Hezbollah,” katanya.
Serangan berlaku hanya dua minggu sebelum tarikh akhir 26 Januari ini untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian tersebut.
Di bawah perjanjian itu, Hezbollah diwajibkan membongkar infrastruktur ketenteraannya yang masih ada di selatan Lubnan dan menarik tenteranya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) bulan ini menuduh Israel melakukan ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata.
Pada Jumaat lalu, serangan Israel di selatan Lebanon mengorbankan lima orang, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan trak senjata milik Hezbollah.-AFP










