TAIPEI : Syarikat perkapalan gergasi dari Taiwan, Evergreen Marine Corp (EMC) mengumumkan pemberian bonus akhir tahun 20 bulan yang bersamaan dua tahun gaji kepada pekerjanya.
Pekerja syarikat itu dilaporkan akan menerima purata bonus akhir tahun, selain tambahan bonus tiga bulan lagi, lapor Taiwan News.
Keputusan syarikat itu menonjolkan pencapaian luar biasa dalam industri perkapalan global, selain memberi penghargaan yang besar kepada tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
Berita gembira itu diumumkan pada hari terakhir tahun 2024 kepada pekerja syarikat pengendali logistik global itu.
Keuntungan sesaham (EPS) Evergreen Marine bagi tiga suku pertama,tahun ini mencapai 50.68 dolar Taiwan (RM 6.89).
Berdasarkan peratusan perkongsian keuntungan sebanyak 0.5 peratus, setiap pekerja akan menerima tambahan 190,000 dolar Taiwan (RM 25,000) selepas mesyuarat agung tahunan pada tahun depan.
Bagi pekerja dengan gaji bulanan 60,000 dolar Taiwan (RM8,000) jumlah bonus ini bersamaan dengan tambahan 3.1 bulan gaji.
Sekiranya keuntungan suku keempat lebih tinggi daripada jangkaan, bonus itu dijangka meningkat sehingga empat bulan gaji.
EMC mencatatkan prestasi cemerlang bagi tiga suku pertama tahun 2024 dengan pendapatan 347.76 bilion dolar Taiwan (RM47.56 bilion) dan keuntungan bersih 108.75 bilion dolar Taiwan (RM14.84 bilion).
Ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan syarikat yang sangat tinggi, iaitu 67.98 peratus bagi pendapatan dan 239.40 peratus bagi keuntungan bersih.
Prestasi kukuh Evergreen Marine sepanjang 2024 dijangka terus berlanjutan, dipacu oleh kadar tambang kargo semasa, krisis berterusan di Laut Merah, serta mogok yang dijangka melanda Pantai Timur Amerika Syarikat pada Januari ini.
Pendapatan dan keuntungan syarikat bagi suku pertama tahun depan juga diunjurkan terus meningkat.
Untuk rekod, pada 2022, EMC pernah memberikan bonus yang tidak masuk akal sebanyak 52 bulan gaji kepada pekerjanya, menjadikan ia salah satu ganjaran terbesar dalam industri perkapalan ketika itu.-AGENSI










