WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa rakyatnya supaya berjaga-jaga terhadap ancaman oligarki, berita palsu dan kecerdasan buatan (AI) di bawah pemerintahan Donald Trump.
Beliau memberi peringatan itu ketika menyampaikan ucapan perpisahan sebelum meletakkan jawatan minggu depan.
Biden yang akan digantikan oleh Trump Isnin ini, menyebut tentang pencapaiannya dalam mengemudi ekonomi AS keluar daripada krisis mendalam yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.
Beliau malah berkata, telah menjadikan pakatan di luar negara lebih kuat.
Bagaimanapun, menerusi ucapan ringkas di Pejabat Oval yang disiarkan secara langsung di televisyen, anggota Demokrat itu dengan pantas beralih kepada amaran beberapa siri bahaya yang akan dihadapi AS di masa depan.
Biden berkata, oligarki sedang terbentuk di AS termasuk pemusatan kuasa yang berbahaya.
Ucapan itu jelas merujuk kepada hubungan rapat Trump dengan lelaki terkaya di dunia, Elon Musk dan taikun teknologi lain.
Beliau berkata, golongan hartawan di sekeliling Trump mewakili kekayaan, kuasa dan pengaruh melampau yang secara literal mengancam seluruh demokrasi negara itu.
Biden mengimbas kembali amaran keras yang dikeluarkan oleh bekas Presiden, Dwight Eisenhower dalam ucapan perpisahannya pada 1961 tentang bahaya kompleks perindustrian tentera yang di luar kawalan.
“Saya sama-sama bimbang tentang potensi peningkatan kompleks perindustrian teknologi dan media yang hancur, bermakna rakyat AS semakin terdedah.
“Rakyat AS sedang terkubur di bawah runtuhan maklumat salah dan palsu, membolehkan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Selain itu, beliau turut merujuk kepada rancangan Trump untuk membatalkan perlindungan alam sekitar dan menarik diri daripada perjanjian global antarabangsa utama memerangi pemanasan global.
“Mereka yang berkuasa mahu menggunakan pengaruh yang tidak terkawal untuk menghapuskan langkah yang telah kami ambil bagi menangani krisis iklim, untuk berkhidmat demi kepentingan mereka sendiri untuk kuasa dan keuntungan.
“AI adalah teknologi paling penting pada zaman kita yang boleh membawa manfaat besar tetapi juga menimbulkan risiko kepada ekonomi, keselamatan dan masyarakat,” tambahnya.-AFP











