Anggota komando dibenarkan simpan janggut - Utusan Malaysia

Anggota komando dibenarkan simpan janggut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Dalam usaha untuk menarik lebih ramai rekrut baharu, anggota komando Royal Marines kini secara rasmi dibenarkan untuk menyimpan janggut buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.  

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan untuk memansuhkan larangan menyimpan janggut, diluluskan oleh pegawai tertinggi dengan persetujuan Raja Charles, berdasarkan laporan The Telegraph.  

Sebelum ini, semua anggota komando diwajibkan memastikan wajah mereka sentiasa bercukur licin.  

Bagaimanapun, peraturan ketat akan dikenakan berhubung bentuk dan panjang janggut yang dibenarkan, dengan larangan terhadap gaya yang dianggap melampau seperti ‘janggut gua’.  

Keputusan itu merupakan sebahagian daripada langkah Tentera Laut Britain untuk menangani cabaran dalam pengambilan rekrut, selari perubahan serupa dalam tentera darat tahun lalu, yang juga membenarkan anggota biasa menyimpan janggut.  

Unit-unit khas seperti Pasukan Perkhidmatan Udara Khas (SAS) pula, sudah lama membenarkan anggota mereka menyimpan janggut atas sebab tertentu.  

Selain itu, latihan ketenteraan komando Royal Marines juga melalui proses penjenamaan semula bagi memastikan ia lebih sesuai dengan nilai-nilai semasa.  

Latihan yang sebelum ini menggunakan nama seperti Final Thrust dan Violent Entry telah diubah kepada Commando Forge dan Green Salamander kerana dikhuatiri membawa konotasi seksual dan agresif yang boleh menyinggung perasaan rekrut muda, termasuk wanita.  

Tentera Laut Diraja menjelaskan nama-nama baharu ini lebih profesional dan sejajar dengan rakan strategik tentera Britain.  

Jurucakap Tentera Laut Diraja berkata, perubahan dasar ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan kerjaya dalam bidang ketenteraan kekal relevan dan menarik minat lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang.  

“Royal Marines sedang menyemak semula dasar pengambilan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN