PETALING JAYA: Prosiding terhadap isu Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dijadualkan bermula pada sesi Dewan Rakyat penggal keempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding ini akan bermula pada 3 Februari 2025 ketika sidang Dewan Rakyat tahun depan.
“Insya Allah, saya akan panggil pihak-pihak berkenaan untuk menghadiri prosiding pada waktu itu. Prosiding ini pasti akan dilaksanakan dan kita akan mulakan sebaik sidang Parlimen bermula pada tarikh tersebut.
“Terdapat lima isu utama yang akan dibincangkan PAC pada tahun hadapan dengan prosiding berlangsung sejajar jadual sidang Dewan Rakyat selama sebulan.
“Kita akan memanfaatkan tempoh persidangan ini untuk mengadakan pertemuan dan menjalankan prosiding seperti kelaziman pada sidang Parlimen sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, PAC akan memulakan prosiding terhadap Khazanah dan PNB berhubung kerugian pelaburan dalam FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) berjumlah RM43.9 juta.
Selain itu, Nafas bagi menjelaskan isu kartel baja yang sedang melanda pertubuhan berkenaan.
FashionValet menjadi tumpuan selepas Khazanah dan PNB yang melabur sebanyak RM47 juta dalam syarikat itu hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan semula pegangan dalam syarikat berkenaan.
Persoalan timbul apabila maklumat kewangan FashionValet yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat berkaitan kerajaan itu membuat pelaburan.
Dalam pada itu, mengenai Nafas, PAC sedang menjalankan prosiding berhubung Pengurusan Program Penanaman Padi dan setakat ini sebanyak empat prosiding sudah diadakan dengan seramai 12 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.
PAC bimbang kemelut yang melanda pertubuhan tersebut akan membawa kepada masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah. – UTUSAN











