Pengusaha bas sekolah mahu naik tambang tahun depan

Pengusaha bas sekolah mahu naik tambang tahun depan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tambang bas sekolah dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.

Peningkatan itu disebabkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, termasuk harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.

Setiausaha Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah, Sakilah Yaani berkata, langkah menaikkan yuran ini merupakan langkah terakhir terpaksa diambil pengusaha bas sekolah.

“Kenaikan kos alat ganti kenderaan, terutamanya tayar dan minyak pelincir, memberi tekanan kepada pengusaha.

“Kami juga perlu mematuhi kadar gaji minimum baharu yang akan dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Sakilah, ramai pe­ngusaha cuba mengelakkan kenaikan yuran, namun keada­an ekonomi semasa memaksa mereka mengambil keputusan tersebut.

“Sebagai pengusaha, kami faham beban ditanggung ibu bapa. Namun, tanpa kenaikan ini, operasi bas sekolah mungkin tidak dapat diteruskan de­ngan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat menasihati pe­ngusaha bas berbincang dengan ibu bapa sebelum menaikkan tambang bas.

“Pengusaha tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan tambang tanpa melibatkan persetujuan ibu dan bapa.

“Sebelum membuat keputusan, perbincangan perlu dilakukan, kira jarak perjalanan, lokasi dan jumlah pelajar untuk kenal pasti keuntungan atau kerugian dialami pengusaha dan jelaskan kepada ibu bapa” jelasnya.

Ujarnya, langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang masalah melibatkan ibu bapa dan pengusaha bas berlaku.

“Kita tidak mahu sekiranya ibu bapa dan pengusaha bas salah faham bergaduh dan sebagainya, jadi eloklah berbincang dahulu,” katanya.

Menurutnya, dia sangat memahami kesulitan yang dialami pengusaha bas dan juga keperitan ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan yang semakin meningkat.

“Diharap kerajaan dapat me­lakukan sesuatu bagi membantu pengusaha dan juga ibu bapa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×