SANAA : Kumpulan Houthi di Yaman melancarkan serangan peluru berpandu ke kawasan tengah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan rejim Zionis di Gaza.
Pihaknya malah berikrar akan meneruskan operasi ketenteraan sehingga perang tersebut dihentikan.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung dalam televisyen berkata, serangan itu dilakukan pada Isnin menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik yang dinamakan ‘Palestine 2’.
“Kami melancarkan operasi ini sebagai balasan terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza yang terus dikepung,” katanya merujuk kepada perang lebih setahun yang telah mengorbankan lebih 45,000 penduduk Gaza.
Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Yaman itu berjaya dipintas sebelum memasuki ruang udara Israel.
“Amaran serangan roket diaktifkan kerana kebimbangan serpihan daripada proses pemintasan,” kata jurucakap tentera Israel.
Media tempatan melaporkan siren kecemasan turut berbunyi di Tel Aviv, bandar terbesar Israel.
Kumpulan Houthi, yang menganggap diri mereka sebagai angkatan tentera rasmi Yaman, mendakwa serangan itu ‘berjaya mencapai objektifnya’ namun tidak mengulas lanjut.
“Kami akan terus menjalankan operasi ketenteraan dan menyerang sasaran berkaitan musuh Zionis di wilayah yang diduduki. Operasi ini tidak akan berhenti selagi serangan terhadap Gaza berterusan dan sekatan tidak ditamatkan,” kata kumpulan yang bersekutu dengan Iran itu.
Minggu lalu, sebuah dron milik Houthi dilaporkan mengenai sebuah bangunan di bandar Yavne berhampiran Tel Aviv.
Serangan itu menyusuli siri tindakan Houthi walaupun gencatan senjata antara Hezbollah dan Israel telah berkuat kuasa di Lubnan pada 27 November lalu.-AGENSI