TEBING BARAT: Tinjauan bancian 2022 mendapati terdapat kira-kira 172,000 rakyat Palestin-Amerika tinggal di Amerika Syarikat (AS) dengan ramai dari negeri penentu atau swing state seperti Michigan dan Pennsylvania.
Bagaimanapun, menjelang Pilihan Raya Presiden AS, hati mereka berbolak-balik, malah ada yang merancang untuk tidak keluar mengundi kerana yakin tiada perubahan yang akan berlaku di negara asal mereka.
Situasi itu turut membelenggu usahawan Palestin-Amerika, Jamal Zaglul.
Seperti pemegang pasport AS lain yang tinggal di Turmus Aya dan membentuk majoriti di kawasan berkenaan, dia masih skeptikal jika undian mereka akan membawa sebarang perubahan di rantau bergolak itu.
TIADA YANG PEDULI
“Di sini kita menghadapi masalah. Tetapi tiada siapa di AS yang mengambil berat tentang kami,” kata ahli perniagaan berusia 50-an itu.
Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967 semakin meningkat sejak perang Gaza meletus ekoran serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober ke atas rejim Zionis.
Jamal turut menyebut tentang bekas Presiden AS, Bill Clinton ketika Perjanjian Oslo ditandatangani di bawah pentadbirannya dan usaha cuba mewujudkan pedamaian melalui solusi dua negara antara Palestin dan Israel yang masih belum terealisasi hingga kini.
“Kali ini, kita perlu mula berubah. Kita perlu ada parti lain, parti berasingan yang bebas. Yang lain, agak jelas mereka tidak pun membantu kami,” katanya.
Rakannya, Basim Sabri yang turut mempunyai dua kewarganegaraan merancang untuk mengundi calon pihak ketiga sebagai protes selepas lapan tahun pentadbiran yang sengsara.
Penduduk Minnesota yang berpangkalan di utara Tebing Barat itu tidak membisu tentang penghuni White House sebaliknya mengkritik tajam Presiden, Joe Biden.
Basim turut mengkritik pendahulu Biden dan pesaing Republikan, Donald Trump, malah menggelar beliau seorang yang ‘rasis’.
Basim berkata, beliau akan mengundi Jill Stein, calon kekal Parti Hijau dalam undian di hampir setiap negeri medan pertempuran Presiden minggu ini.
Stein bertanding pada 2012 dan 2016, masing-masing memperoleh hanya 0.4 peratus dan satu peratus undian.
Terkejut dengan perang Gaza, Basim berharap AS akan mendorong lebih banyak keamanan.
“Ia satu-satunya negara di dunia yang memveto keputusan majoriti dunia untuk menghentikan perang dan mengutuk Israel,” katanya.
ENGGAN MENGUNDI
Penduduk California, Odeh Juma, yang kembali ke Turmus Aya beberapa kali setahun, mengakui amat kecewa dengan sokongan tentera AS kepada Israel.
“Sebagai rakyat Palestin, kami berasa bimbang dan usaha untuk menamatkan peperangan di seluruh dunia terutama di Palestin atau Ukraine semakin diabaikan kerana kepentingan politik calon pilihan raya,” katanya.
Odeh bercadang untuk menonton liputan malam pilihan raya tetapi tidak akan membuang undi.
“Jika kita tidak mengundi sekarang, ia akan menyerlahkan kepentingan suara golongan Arab, Palestin, dan umat Islam untuk pilihan raya akan datang,” katanya.
Beribu-ribu rakyat Palestin Amerika tinggal di Tebing Barat dan anak lelaki Odeh, Adam berkata, komuniti mereka cenderung merasa takut untuk mengundi sesiapa sahaja calon pilihan raya AS, terutamanya Trump.
“Saya teringat semasa pemilihan presiden pertama Trump, ada yang berharap beliau mungkin ‘berbeza’, tetapi sebaliknya memberi banyak tamparan kepada rakyat Palestin sebaik sahaja dipilih.
“Pentadbiran Trump melanggar piagam AS dengan mengisytiharkan ia tidak melihat penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram sedangkan penempatan ini dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.
Adam Juma mengakui mengikuti perkembangan pilihan raya tetapi tidak akan mengundi kerana merasakan AS tidak lagi mempengaruhi penyelesaian konflik global.
“Ia tidak akan mengubah apa-apa jika kita mengundi sesiapa. Ia tidak seperti dulu,” katanya.
Penduduk Ramallah, Leila berkata, dia akan ke AS untuk mengundi Stein.
“Pembunuhan beramai-ramai yang berterusan sentiasa bermain di fikiran saya, dan Harris sama sekali tidak melakukan apa-apa untuk memenangi undi saya dalam hal itu,” katanya.
Seorang lagi warga Palestin Amerika, Sanaa Shalabi juga merancang untuk tidak menyertai pilihan raya.
“Di sini, tiada siapa yang mengambil berat tentang kami.
“Terdapat kedutaan AS di sini, tetapi ia tidak melakukan apa-apa.
Mereka tidak menyokong kami. Israel adalah sebenarnya yang mengawal AS,” katanya.-AFP











