JERANTUT: Kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dinaikkan RM3.30 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 dilihat belum memadai dalam kalangan penoreh getah luar bandar di Pahang, sebaliknya harapan mereka kerajaan wajar menetapkan harga komoditi itu melebihi RM4.50 sekilogram.
Pengusaha yang memiliki kebun berskala kurang dua hektar mengeluh kerana harga getah antara RM4 hingga RM4.20 sekilogram masih tidak menjamin keselesaan pendapatan serta perbelanjaan memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Pahang, Anuar Mustakim berkata, kira-kira 6,000 pekebun kecil dan penoreh getah negeri ini berharap kerajaan dapat memenuhi hasrat mereka menaikkan harga komoditi itu melebihi antara RM4.50 hingga RM5.
“Hari ini, kita lihat penoreh getah antara yang terkesan akibat perolehan hasil jualan getah yang masih rendah ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Apatah lagi ketika berlaku Monsun Timur Laut dan cuaca panas sehingga mengurangkan hasil (susu).
“Purata mereka bekerja menoreh antara 10 hingga 12 hari dalam sebulan dan memperoleh antara 200 hingga 300 kilogram sahaja. Ia langsung tidak mencukupi untuk berbelanja lebih-lebih lagi penoreh yang bekerja di kebun getah milik orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Tekam Utara di sini.
Anuar berharap, kebajikan penoreh getah khususnya yang menoreh kurang daripada dua hektar perlu dibela dengan harga jualan yang tinggi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban belanja dapur, persekolahan dan membeli ubat khususnya kalangan yang berusia lebih 60 tahun.
Dia juga hairan kenapa negara ini tidak mewujudkan banyak industri bersumberkan hasil getah memandangkan negara ASEAN yang lain seperti Vietnam dan Thailand sudah mengorak langkah ke hadapan dalam sektor pembuatan berasaskan getah.
“Harga yang kita cadangkan sangat relevan untuk meringankan tekanan penoreh getah luar bandar yang kebanyakannya hasil komoditi berkenaan termasuk sawit sebagai perbelanjaan sara hidup keluarga dan pembiayaan lain,” katanya.
Sementara itu, penoreh getah Kampung Bukit Rang, Zamri Mat, 63, berkata, insentif tersebut belum menjamin keselesaan pendapatan penoreh getah luar bandar khususnya bagi mereka yang menoreh getah di kebun milik orang.
“Ketika musim kemarau, purata kami boleh keluar bekerja hanya 15 hari sebulan, kadangkala diganggu dengan hujan pada sebelah petang dan malam cuma memperoleh hasil seberat antara 100 hingga 200 kilogram. Malah berdepan tekanan apabila hasil jualan dibahagi dua dengan pemilik,” katanya. – UTUSAN











