MOSCOW: Kebimbangan mengenai Perang Dunia Ketiga meningkat apabila Russia dedah sedang melancarkan pengeluaran besar-besaran tempat perlindungan perang nuklear mudah alih.
Langkah terbaharu itu berlaku selepas 1,000 hari konflik dengan Ukraine, yang meningkatkan kebimbangan pemimpin dunia bahawa Presiden Vladimir Putin mungkin mencetuskan perang nuklear.
Putin mengubah doktrin nuklear Russia untuk menunjukkan ancaman kemusnahan besar-besaran jika Ukraine menyerang wilayahnya menggunakan senjata dibekalkan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sebagai tindak balas kepada kebimbangan berlakunya perang besar, Putin membina tempat perlindungan perang untuk orang awam Russia.
Bunker tersebut bertujuan untuk memberi perlindungan kepada sinaran cahaya letupan nuklear dan pencemaran radioaktif di kawasan sekitar, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Awam dan Kecemasan Russia.
Satu varian dipanggil Kub-M yang dihasilkan di bandar Dzerzhinsk, dinamakan sempena Felix Dzerzhinsky, pengasas polis rahsia Soviet.
Walaupun bunker ini membimbangkan, model itu dianggap mengagumkan, dengan kos pengeluaran mencecah 300,000 euro setiap unit.
Bunker itu boleh diangkut melalui jalan darat atau rel keretapi, menjadikannya fleksibel untuk digunakan semasa dalam perjalanan, menurut laporan Moscow Times.
Pada asalnya ia dibuat untuk menampung 54 orang, tetapi kapasiti boleh diperluaskan hingga 150 orang dengan menambah blok tambahan jika diperlukan.
Ia memberikan perlindungan kukuh terhadap gelombang kejutan udara, kesan letupan dan serpihan senjata konvensional, runtuhan banguna serta bahan toksik, kimia dan radioaktif.- AGENSI











