TIDAK puas melihat kediaman yang satu ini. Luas, tenang dan nyaman.
Permainan warnanya cukup ringkas dengan penggunaan warna-warna asas seperti putih, kelabu, krim dan hitam.
Padanan warna ringkas dengan susun atur minimalis itu menjadikan keseluruhan ruang rumah ini tampak menarik dengan gaya Eropah yang diberi sedikit sentuhan moden.

Pemilik kediaman, Nurazura Che Mat, 38, berkata, penataan Inggeris moden dan minimalis sememangnya menjadi pilihan untuk menghiasi kediaman jenis teres dua tingkat itu.
“Kami memilih konsep ini kerana suka pada dekorasi rumah orang Eropah yang nampak lebih tenang dan penuh dengan nilai estetika.
“Tetapi, dalam masa sama kami sukakan konsep moden, jadi kami gabungkan kedua-dua elemen itu supaya rumah tidak nampak terlalu klasik.
“Gaya ini dihidupkan dalam suasana minimalis kerana tidak mahu rumah nampak terlalu sarat dengan perabot dan dekorasi,” katanya kepada Seri.

Rekaan lengkung
Keseluruhan ruang kediaman berkeluasan 2,200 kaki persegi itu menggunakan rona tanah kerana konsep Inggeris yang bermain dengan warna-warna neutral seperti coklat, putih dan kelabu muda.
Dinding tumpu jenis Wainscoting pula antara elemen yang menghidupkan lagi gaya Inggeris serta aksesori tambahan lain seperti pasu, bunga dan perabot yang bercirikan konsep sama.
“Juga sedikit dekorasi berwarna emas supaya ada warna kontra yang membuatkan rumah nampak lebih berseri dan tidak terlalu bosan dengan warna senada.
“Untuk dapur kami memilih konsep Inggeris moden dengan pemilihan warna neutral. Selain itu, kami turut memilih pintu kabinet dapur jenis shaker.
“Penataan ini dilengkapi dengan pemilihan lampu gantung berbentuk klasik Inggeris berwarna emas sebagai pelengkap gaya,” ujarnya yang mengambil masa selama dua tahun untuk melengkapkan konsep berkenaan.

Antara yang menarik perhatian pada bahagian dapur kering ialah kabinet berbentuk lingkungan yang memberikan sentuhan moden dan terkini.
Ia bukan sahaja menjadi salah satu elemen dekorasi pada dapur, malah turut memiliki fungsinya yang tersendiri sebagai ruang untuk menyediakan minuman, tempat menyimpan pinggan mangkuk serta sebagai ruang tambahan untuk meletakkan hidangan ketika acara makan-makan.
“Konsep ini membuatkan suasana rumah nampak lebih tenang, sedap mata memandang dan ruang akan kelihatan lebih luas dengan pemilihan warna semula jadi.
“Kami berasa sangat tenang bila melangkah masuk ke rumah kerana melihat warna-warna lembut dan neutral. Dari segi penjagaan pula tidak susah dengan dekorasi yang minimal dan tidak sarat,” akhirinya.










