WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden digesa untuk menghentikan penjualan senjata kepada Israel.
Gesaan itu disuarakan oleh segelintir senator berhaluan kiri yang menuduh AS memainkan peranan penting dalam kekejaman perang di Gaza.
Empat senator tersebut mengadakan sidang akhbar, menjelang pengundian mengenai resolusi yang mengecam penjualan senjata AS kepada Israel.
Namun, langkah itu dijangka gagal memandangkan ramai penggubal undang-undang AS menyokong kuat Israel.
Wakil Vermont memberitahu pemberita, apa yang berlaku di Gaza hari ini adalah sesuatu yang tidak dapat diungkapkan, khususnya kematian puluhan ribu orang awam di wilayah Palestin serta kemusnahan besar-besaran terhadap bangunan dan infrastruktur.
“Apa yang lebih menyakitkan ialah banyak perkara berlaku di Gaza dilakukan dengan senjata AS dan sokongan pembayar cukai Amerika,” katanya.
Senator Demokrat, Chris Van Hollen mempersoalkan dasar luar dan komitmen Washington terhadap Israel membuatkan AS mengabaikan penderitaan yang jelas terlihat di Gaza.
“AS bersubahat dalam kekejaman ini, penglibatannya mesti dihentikan dan itulah yang menjadi fokus resolusi ini,” kata Senator Bernie Sanders.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan jumlah kematian akibat perang Israel kini mencecah 43,972 orang, kebanyakannya orang awam.
Peperangan ini bermula apabila pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, mengakibatkan 1,206 kematian, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Pentadbiran Biden terus menyokong Israel secara teguh sambil menyeru agar tindakan terkawal selama lebih setahun.
BIAYA TENTERA UKRAINE
Dalam perkembangan lain, Biden bersetuju untuk memberikan periuk api daripada jenis ‘anti-personel mine’ kepada Kyiv, sebagai usaha memperlahankan kemaraan tentera Russia di timur Ukraine.
Menurut Pegawai Pertahanan AS, periuk api tersebut akan dihantar tidak lama lagi dan Washington menjangka ia digunakan di wilayah Ukraine.
Ukraine juga berjanji untuk tidak menggunakan periuk api tersebut di kawasan padat penduduk, kata pegawai itu.
Penyediaan periuk api anti-personel adalah langkah terbaharu pentadbiran AS yang bakal berakhir untuk memperkukuhkan usaha perang Ukraine sebelum Presiden terpilih, Donald Trump kembali ke Rumah Putih, 20 Januari ini.
Russia menggunakan periuk api secara meluas sejak pencerobohan berskala penuh terhadap Ukraine pada Februari 2022.
Namun, pemimpin dunia membantah penggunaan senjata berkenaan yang dianggap berisiko kepada orang awam, menghalang pentadbiran Biden daripada meluluskannya sebelum ini.
Bagaimanapun, periuk api dari AS berbeza daripada Russia kerana ia menjadi tidak aktif selepas tempoh masa tertentu – antara empat jam hingga dua minggu.
Kelmarin, Presiden Volodymyr Zelensky menegaskan Ukraine akan kalah dalam perang menentang Russia jika AS memotong pembiayaan ketenteraan kepada Kyiv.
“Jika mereka memotong, saya rasa kami akan kalah.
“Kami akan terus berjuang. Kami mempunyai pengeluaran sendiri, tetapi itu tidak mencukupi untuk menang,” katanya dalam temu bual kata kepada Fox News, kelmarin.
Presiden terpilih AS, Donald Trump adalah pengkritik lantang terhadap berbilion dolar peruntukan yang diberikan oleh pentadbiran Biden kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia.- AGENSI










