BEIJING: Tentera China melancarkan satu lagi siri latihan ketenteraan melibatkan kapal dan pesawat berhampiran Taiwan, hanya beberapa hari selepas pulau demokrasi yang diperintah sendiri itu menyambut Hari Kebangsaan.
Latihan yang dinamakan Joint Sword-2024B, berlangsung di kawasan utara, selatan dan timur pulau Taiwan, kata jurucakap Komando Teater Timur tentera China, Kapten Li Xi.
Beliau berkata, latihan tersebut memberi tumpuan kepada kesediaan tempur laut-udara, sekatan terhadap pelabuhan dan kawasan penting serta melibatkan serangan pada sasaran maritim dan darat.
“Latihan ini merupakan operasi yang sah dan perlu untuk menjaga kedaulatan negara serta perpaduan nasional,” katanya tanpa memberikan tarikh berakhirnya latihan tersebut.
Kementerian Pertahanan Taiwan mengecam tindakan tidak rasional dan provokatif China, selain memaklumkan pihaknya menghantar pasukan untuk bertindak balas sewajarnya bagi melindungi kebebasan, demokrasi serta mempertahankan kedaulatan.
Sehingga pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam, pihak kementerian berkata, kira-kira 25 pesawat PLA dan sejumlah 11 kapal, termasuk tujuh daripada tentera laut, ditemukan beroperasi di sekitar Taiwan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China meningkatkan aktiviti ketenteraannya di sekitar Taiwan, yang dianggap sebagai wilayahnya.
Latihan terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas Presiden Taiwan, William Lai Ching-te menyampaikan ucapan Hari Kebangsaan pertamanya pada 10 Oktober lalu.
Dalam ucapan itu, beliau berjanji akan menentang sebarang bentuk penjajahan atau pencerobohan dan menegaskan Beijing tiada hak untuk mewakili 23 juta penduduk Taiwan.- AL JAZEERA










