MAJALENGKA, JAWA BARAT: Kes seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dicabul menjadi tular dalam media sosial selepas siasatan polis mendapati rakannya yang berusia enam tahun melakukan perkara terkutuk itu.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Majalengka, AKP Tito Witular, kejadian tersebut berlaku pada Rabu, 7 Jun 2023, pukul 1.00 petang waktu tempatan di sebuah rumah di Dawuan, Majalengka.
“Pada mulanya suspek bersama ibu dan neneknya pergi ke surau berdekatan rumah mangsa.
“Selepas solat, mereka bermain di teres rumah suspek dengan menggunakan alat permainan berupa picagari berisi coklat.
“Bagaimanapun, tiba-tiba suspek menyuntik mainan itu ke kawasan sensitif mangsa,” kata Tito menerusi satu sidang akhbar mengenai perkembangan kes tersebut.
Tambahnya, memandangkan suspek masih berada di bawah umur, penyiasat akan mengambil keputusan bersama Balai Pemasyarakatan (BAPAS) dan Pekerja Sosial (PEKSOS), bersesuaian dengan Undang-undang Tahun 2012 mengendalikan Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun.
“Penyiasat akan meminta persetujuan untuk menentukan keputusan daripada Mahkamah Daerah Majalengka,” kata Tito.
Sebelum itu, kejadian yang berlaku di Majalengka, Jawa Barat menarik perhatian ramai apabila video pengakuan ibu bapa mangsa yang dimuat naik oleh peguam terkenal, Hotman Paris Hutapea di akaun Instagram miliknya.
Bapa mangsa, Totong Abdulhadi berkata, pada mulanya dia mengesyaki anaknya yang berusia empat tahun dicabul oleh pegawai kampung di rumahnya.
Sehingga Rabu lalu, video yang dimuat naik ke Instagram milik peguam terkenal tersebut telah ditonton lebih 500 ribu kali. -AGENSI










