BEIRUT: Lebih sejuta rakyat Lubnan melarikan diri dari kediaman masing-masing sejak Israel meningkatkan serangan udara dan melancarkan kempen darat di bahagian selatan terhadap Hezbollah.
Koordinator Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Imran Riza berkata, kadar perpindahan sejak 23 September lalu, melebihi senario kes terburuk, dan terlalu banyak kerosakan berlaku kepada infrastruktur awam.
Najaf, adalah antara kawasan di Iraq yang biasa mengendalikan keperluan kecemasan bagi pelancong asing dan rakyat Iraq yang mengharungi hampir dua dekad peperangan di negara sendiri.
Bagaimanapun, menerima pelarian Lubnan adalah sesuatu di luar jangkaan.
Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, kira-kira 5,700 warga Lubnan tiba di negara itu setakat ini, bagi mencari perlindungan daripada pengeboman Israel.
Lubana Ismail, antara pelarian Lubnan yang meninggalkan kampungnya di selatan Beirut bersama suami, Fouad Youssef serta dua anak mereka.
Mereka menaiki penerbangan ke Najaf, bandar yang pernah menjadi zon perang sejauh 1,000 kilometer dari rumahnya di selatan Lubnan.
Beliau yang ketika itu sarat mengandung memerlukan pengawasan perubatan segera untuk melahirkan bayi perempuannya dengan selamat.
Fouad berkata, mereka mencari hospital di Beirut dan Sidon, namun semua fasiliti perubatan itu dipenuhi dengan mayat dan mangsa cedera akibat serangan Israel.
“Tiada hospital yang menerima isteri saya. Kami ditolak ke merata tempat sehingga bapa saya mencadangkan agar kami pergi ke Iraq.
“Sepanjang dua hari kami berpindah, saya cuba membawa isteri ke hospital kerana sukar bersalin, tetapi disebabkan jumlah kecederaan dan kematian yang tinggi, maka tiada kekosongan,” katanya.- REUTERS










