UPSR, PT3 tidak dikembalikan

UPSR, PT3 tidak dikembalikan

FADHLINA Sidek melihat buku Pelan Strategik 2024-2030 selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peperiksaan Ujian Pen­capaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kekal dimansuhkan dan tidak akan dikembalikan buat masa ini.

Menteri Pendidikan, Fadhli­na Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan tahun 2022 iaitu memansuhkan UPSR dan PT3 .

Menurut beliau, cadangan untuk mengembalikan semula kedua-dua peperiksaan itu memerlukan pandangan menyeluruh dan tidak boleh dilihat berdasarkan satu aspek.

“Kita perlu sediakan panda­ngan dan kajian keseluruhan KPM dan kita akan siapkan persiapan pandangan itu, ia tidak boleh dilihat satu aspek dan (seharusnya) lebih besar.

“(Ini kerana) anak-anak kita bu­kan tikus makmal yang kita ma­hu ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap ti­­dak ada,” kata beliau pada si­dang akh­bar selepas Majlis Perhimpu­nan Bulanan KPM di sini semalam.

Fadhlina berkata demi­kian sebagai mengulas sara­nan ­beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahupun UPSR dan PT3 dikembalikan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi me­nyarankan dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu disemak semula dan dirombak selepas ada masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihak kementerian telah membuat pelbagai pe­negasan semula khususnya untuk meneguhkan pentaksi­ran bilik darjah (PBD) termasuk memberi latihan kepada guru-guru.

Menurut beliau, langkah-langkah tersebut bagi memastikan tidak ada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan anak-anak khususnya berkaitan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Jadi penegasan di peringkat KPM itu adalah untuk memastikan apa sahaja keputusan yang kita ambil tidak boleh menjejaskan anak-anak kita.

“Kita ada tumpuan yang le­bih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.

“Semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu,” katanya.

UPSR diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

PT3 pula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan pepe­riksaan Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR).Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan pada 2022.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM akan memberikan akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dijangka bermula 1 Oktober ini.

Kata beliau, inisiatif itu untuk memastikan kanak-kanak terbabit bersedia diserap kembali ke sistem pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, akses pendidikan tersebut merupakan kerjasama antara KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengelakkan keciciran dalam kumpulan kanak-kanak itu.

“Kita ambil berat dan kita ada komitmen tinggi untuk memastikan anak-anak ini (dapat) mengikuti sepenuhnya pendidikan.

“Kita bimbang sekiranya mereka ketinggalan ketika dalam tempoh siasatan dan sepanjang proses tersebut berlaku, jadi kita ambil tanggungjawab untuk pastikan pendidikan mereka terjamin,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN