HOUSTON: Satu ribut tropika dijangka berlaku di Teluk Mexico Rabu depan, namun kekuatannya masih tidak dapat diramalkan.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) semalam memaklumkan, ramalan ribut itu dibuat berdasarkan keadaan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di Texas dan Louisiana.
Jelas NHC, satu kawasan bertekanan rendah telah terbentuk di Teluk Campeche di bahagian selatan Teluk Mexico lalu menghasilkan hujan dan ribut petir yang sukar diramal.
“Sistem ini dijangka perlahan-lahan bergerak ke utara selama beberapa hari dan kemungkinan membentuk ribut tropika pada awal atau pertengahan minggu depan ketika berada sepanjang pantai Teluk Mexico dan Texas,” jelas pusat tersebut.
Menurut NHC, risiko pembentukan ribut dalam 48 jam akan datang adalah 50 peratus manakala setinggi 70 peratus dalam masa tujuh hari lagi.
Kekuatan sebenar ribut tropika itu masih tidak jelas, namun suhu panas di Teluk Mexico pada musim ini boleh mendorong ribut menjadi lebih kuat.
Akhbar The Austin American-Statesman melaporkan, ribut itu akan dinamakan sebagai Taufan Francine.
Sebanyak lima ribut tropika telah melanda Teluk Mexico tahun ini dengan Taufan Beryl direkod sebagai ribut terkuat pada kategori lima. – AGENSI