PETALING JAYA: Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa mendakwa isu yang dibangkitkan mengenai jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, hanyalah taktik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar yang dihadapi badan induk itu.
Menurut Sadek, tindakan tersebut merupakan strategi ‘reverse psychology’ yang digunakan oleh FAM bagi menutup kelemahan pengurusan dalaman mereka.
“Sebenarnya, apa dibangkitkan itu adalah untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang ada dan perlu diuruskan oleh FAM,” katanya.

Sadek turut menyatakan bahawa isu-isu berbangkit seperti ketegangan hubungan antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Sultan Selangor, serta kontroversi melibatkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim, menjadi antara faktor yang mengancam kestabilan FAM.
“Isu yang dibangkitkan ini, termasuk perbalahan besar antara kelab-kelab dalam liga, menunjukkan FAM seolah-olah tiada kuasa untuk mengawal keadaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sadek menyeru agar FAM lebih telus dan fokus dalam menyelesaikan masalah dalaman serta mengembalikan keyakinan peminat terhadap bola sepak negara.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, telah mendedahkan lakonan yang berlaku sebelum FAM bersetuju untuk melepaskan Pan Gon.
Pengendali berusia 55 tahun itu awalnya memberikan alasan masalah keluarga sebagai sebab untuk meninggalkan Harimau Malaya.
Lebih menyedihkan, segelintir peminat telah menyalahkan FAM dan menjadikan isu pemergian Pan Gon sebagai alasan untuk memboikot Pestabola Merdeka 2024 pada 4 dan 8 September ini.
Hamidin juga mendedahkan bahawa Pan Gon cuba menghubunginya, tetapi beliau enggan menjawab kerana terlalu kecewa dengan tindakan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya tersebut.









