PETALING JAYA: Jaguh pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou berharap kemelut yang melanda di antara Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Liek Hou memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) berkata semua pihak dapat bekerjasama bagi meningkatkan mutu sukan negara.
“Bagi saya, kami tidak mahulah timbul sebarang isu kerana sebagai atlet, kami hanya mahu berikan sepenuh fokus terhadap pencapaian serta sasaran yang diletakkan. Tidak ada sebab untuk bergaduh sesama sendiri.
“Sekiranya kita dapat menghasilkan keputusan positif, kenapa kita tidak (ambil langkah) mengekalkan program sedia ada atau duduk semeja berbincang mengenai program yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa campur tangan MSN pada Paralimpik Paris telah menyebabkan kontinjen negara gagal meraih empat pingat emas yang disasarkan.
Megat turut mendakwa campur tangan MSN pada temasya sukan terbesar dunia itu menyebabkan pegawai-pegawai MPM tidak dapat melaksanakan tugas, sekali gus menjadi punca kegagalan kontinjen Malaysia.
Dalam pada itu, Liek Hou berkata MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) memberikan banyak bantuan serta sokongan kepadanya dan jurulatih, Nova Armada sepanjang melakukan persiapan bagi menghadapi Paralimpik Paris.
“Bagi saya, MSN antara paling banyak memberikan bantuan, begitu juga ISN kerana mereka tunaikan segala permintaan kami malah kami juga diberikan kebenaran untuk menggunakan gelanggang futsal di MSN selama satu bulan setengah.
“Di situ, memang saya dapat fokus pada latihan selain menginap di Casa 2. Sekiranya ada sebarang isu, saya akan terus ke fisioterapi untuk pemulihan dan ia sangat membantu untuk persiapan,” katanya.










