LONDON: Kumpulan vaksin global Gavi akan membeli 500,000 dos vaksin Mpox daripada Bavarian Nordic, pembelian pertama untuk membantu memerangi wabak di beberapa bahagian di Afrika.
Gavi, pakatan awam-swasta yang membiayai pembelian vaksin untuk negara berpendapatan rendah, berkata ia akan membelanjakan sehingga AS$50 juta (RM213 juta) untuk rancangan itu, termasuk kos pengangkutan, penghantaran dan pengurusan vaksin.
Dos vaksin tersebut dijangka dihantar tahun ini, lapor Reuters.
Pembelian Gavi boleh mempercepatkan tindak balas memerangi wabak di Congo dan negara lain yang terjejas.
Pelaburan RM213 juta oleh Gavi mungkin menyamai harga AS$100 (RM426) setiap vaksin, memandangkan kos pengangkutan dan logistik termasuk dalam jumlah tersebut.
Selain Gavi, Dana Global untuk Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria turut mengumumkan peruntukannya sebanyak AS$9.5 juta (RM40.5 juta), untuk menyokong Congo dalam tindak balas kecemasan susulan permintaan kerajaan itu.
Tahun ini, terdapat lebih 25,000 kes yang disyaki Mpox dan 723 kematian di Afrika, terutama di Republik Demokratik Congo, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO berkata, sekitar 3.6 juta dos vaksin Mpox dijanjikan kepada Republik Demokratik Congo oleh negara-negara kaya yang mempunyai simpanan, namun hanya sebahagian kecil yang dihantar setakat ini.
Agensi kesihatan itu meluluskan vaksin tersebut untuk digunakan pada Jumaat lalu.











