KEPALA BATAS : Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dijangka diumumkan minggu ini.
Katanya, pengumuman itu akan dibuat sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya jangka ia (calon) boleh diumumkan dalam dua tiga hari (ini) memandangkan nama-nama calon bakal dikumpulkan dan dibawa untuk perbincangan di peringkat pimpinan sebelum ia diputuskan.
“Kita tidak akan umumkan di peringkat akhir, tapi, kita akan memaklumkan siapa calon seperti mana yang kita buat sebelum ini di PRK Nenggiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bertam, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, UMNO terbuka untuk menerima cadangan mana-mana nama yang sesuai untuk dijadikan calon.
“Mana-mana sayap termasuklah wanita, pemuda, puteri atau peringkat bahagian boleh hantar nama calon.
“Tapi, yang paling utama ialah, apabila keputusan dibuat oleh majlis tertinggi khususnya BN, maka, itu adalah calon yang akan mewakili kita dan pengundi,” katanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan bahawa Pergerakan Wanita UMNO telah mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan parti bagi mewakili BN pada PRK DUN Mahkota nanti.
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.










