PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam isu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada pembangkang.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pembangkang lebih memilih membuat onar berbanding berbincang mengikut proses untuk mencapai persetujuan pemberian peruntukan.
Beliau membandingkan semasa perjanjian MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, dua tahun lalu antara kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pertamanya pihak kerajaan kemuka draf (dan kemudian) Pakatan Harapan (PH) bincang dalam Majlis Presiden PH, kemudian beri maklumbalas. Pihak kerajaan meneliti maklumbalas dan kami duduk berunding mencapai titik temu.
“Proses ini ada tertibnya, perundingan berlangsung beberapa pusingan. Sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MoU. Kami meterai persetujuan itu dalam satu majlis di parlimen dihadiri Perdana Menteri, Ismail Sabri dan Ketua Pembangkan, Anwar Ibrahim.
“MoU kali ini? Baru terima draf sudah riuh dekat luar. Betullah kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof kalau pilih nak bercakap dengan media tidak perlulah nak berunding,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama iaitu ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Ekoran itu, Fadilah tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu sehari selepas pembangkang sebulat suara menolak MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada mereka.
Menurutnya, tindakan ini diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Hamzah mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.-UTUSAN