ABIDJAN: Seramai 13 orang terbunuh dan 45 cedera dalam kemalangan jalan raya di utara Ivory Coast selepas sebuah lori tangki bertembung dengan sebuah bas, menurut pasukan penyelamat dan laporan media tempatan pada Sabtu.
Kejadian pada Jumaat itu berlaku apabila bas yang membawa penumpang bertembung dengan sebuah lori tangki yang dipenuhi petrol di lorong bertentangan.
Pelanggaran tersebut berlaku di kawasan jalan lebar yang telah mengecil disebabkan oleh sebuah lori kargo yang diletakkan tanpa lampu isyarat, kata platform Police Secours yang memantau kemalangan maut di negara itu.
Dua buah kenderaan tersebut bertembung sekitar pukul 11 malam waktu tempatan di lebuh raya antara Bouake dan Korhogo, dua bandar besar utara Ivory Coast.
“Pelanggaran antara bas dan lori tangki itu telah mencetuskan kebakaran yang sangat dahsyat sehingga menyebabkan 13 mayat rentung akibat api yang sedang marak ketika itu, katanya lagi.
Sementara itu, Agensi Berita Ivory (AIP) mengesahkan jumlah korban termasuk 19 kanak-kanak yang cedera dan dikejarkan ke hospital di bandar berhampiran Katiola dan Niakara.
Kemalangan maut adalah perkara biasa di Ivory Coast akibat keadaan jalan raya dan kenderaan yang tidak terurus serta pemanduan yang cuai.
Pada tahun lalu, negara tersebut memperkenalkan lesen memandu berasaskan sistem mata yang memberikan setiap pemandu 12 mata yang boleh ditarik secara berperingkat bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
Pihak berkuasa Ivory Coast juga memasang kamera di jalan-jalan utama negara itu untuk mengenakan denda kepada pesalah trafik.
Kementerian Pengangkutan merekodkan antara 1,000 hingga 1,500 orang terbunuh setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di Ivory Coast. -AGENSI