KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil, Sabtu ini hingga jam 1 pagi (Ahad) sempena aksi final Piala FA di Stadium Nasional.
Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan untuk keselesaan penumpang pulang ke destinasi masing-masing.
Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
Katanya, semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
“Penumpang disaran untuk menggunakan kad ‘Touch n Go’ bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.
“Bagi pengguna token, digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen. Rapid Rail juga menyarankan penumpang untuk menggunakan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen LRT dan MRT terpilih.
“Sejumlah 18,680 ruang parkir kereta tersedia bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.
“Bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan, sila rujuk media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan,” jelas kenyataan itu.
Aksi final Piala FA bakal menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC dengan perlawanan dijadual berlangsung pukul 9 malam, Sabtu ini. – UTUSAN










