Trump bahaya kepada Amerika Syarikat – Biden

Trump bahaya kepada Amerika Syarikat – Biden

JOE Biden dan Donald Trump menyertai debat Pilihan Raya Presiden AS yang berlangsung di CNN, pada 27 Jun 2024.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyifatkan calon Presiden Republikan, Donald Trump sebagai seorang individu yang berbahaya kepada keselamatan negara itu.

Dalam temu bual televisyen pertamanya sejak menarik diri dari Pilihan Raya Presiden, Biden berkata, segala-galanya boleh berlaku sekiranya Trump memenangi pilihan raya dan menjadi Presiden AS.

Biden berkata, beliau tidak yakin bahawa peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya Trump tewas sekali lagi untuk kali kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ingat kata-kata saya, jika beliau menang…pilihan raya ini, lihat apa yang akan berlaku.

“Dia benar-benar bahaya kepada keselamatan Amerika. Lihat, kita berada di titik perubahan dalam sejarah dunia dan demokrasi adalah kuncinya,” kata Biden dalam satu wawancara khas CBS News yang disiarkan kelmarin.

Dalam pada itu, Biden mendedahkan beliau menarik diri sebagai calon Presiden AS atas desakan ahli parti Demokrat selain mahu memastikan kekalahan Trump.

Biden menjelaskan keputusannya untuk bertanding mendatangkan kebimbangan dalam kalangan anggota parti yang beranggapan beliau akan merosakkan peluang Demokrat susulan keupayaannya yang menjadi perbualan utama kempen.

“Beberapa rakan parti di Dewan Perwakilan dan Senat bimbang saya akan merosakkan peluang kemenangan jika terus bertanding. Saya juga beranggapan sama, namun saya tidak sakit seperti yang digembar-gemburkan,” katanya dalam temu bual ringkas yang berlangsung di Rumah Putih itu. 

Tambahnya, beliau mempunyai tanggungjawab kepada negara iaitu memastikan kekalahan Trump.

Beliau pada masa sama turut menyatakan sokongan kepada Naib Presidennya, Kamala Harris dan berikrar akan berkempen untuk pemimpin wanita itu.

Biden, 81, kurang menonjolkan diri sejak berundur daripada Pilihan Raya Presiden selepas prestasi debatnya yang lemah menentang Trump mencetuskan kebimbangan anggota parti Demokrat berhubung cubaannya mengekalkan jawatan Presiden.

Harapan Parti Demokrat untuk melihat Harris dan calon Naib Presidennya, Tim Walz menang kini terbuka luas selepas menerima sokongan rakyat AS yang dilihat kurang menyokong Trump. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini