PETALING JAYA: Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bermula cemerlang sejak kekalahan Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun 2024, sebentar tadi.
Tang Jie-Ee Wei dengan mudah menewaskan wakil dari Taiwan, Liu Kuang Heng- Jheng Yu Chieh dalam permainan straight set 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.
Pada aksi yang berlangsung di Arena Yokohama itu, pasangan negara kelihatan bergelut untuk menewaskan beregu Taiwan itu, namun pada penghujung permainan bangkit menewaskan 19-21.
Set kedua bermula garang apabila Tang Jie-Ee Wei tidak berhenti mengasak lawan mereka sehingga tamat permainan.
Pasangan No. 9 dunia itu bakal membuat perhitungan bersama gandingan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch pada pusingan kedua, esok.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mempamerkan permainan mengagumkan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Takumi Obayashi untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya.
Jun Hao kelihatan mudah menundukkan lawannya menerusi permainan straight set 21-15, 21-17 dalam tempoh 46 minit.
Dalam pada itu, pasangan campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bermula langkah kiri apabila tewas kepada gandingan China Cheng Xing-Zhang Chi.
Pasangan no.13 dunia itu tewas permainan straight set 21-12, 21-18 kepada gandingan China terbabit dalam tempoh 38 minit. – UTUSAN









