TEL AVIV: Perkhidmatan keselamatan dalam negeri, Shin Bet sedang mempersiapkan sebuah kubu di Baitulmuqaddis, untuk membolehkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan tinggal dalam tempoh yang panjang semasa perang.
Terdahulu, laman web Amerika Axios memetik tiga sumber mendakwa, Iran mungkin melancarkan serangan terhadap Israel seawal minggu ini.
Ia mendakwa, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menjangkakan tindak balas Iran adalah sama dengan serangan yang dilakukan Teheran pada 13 April lepas, tetapi mungkin lebih besar dan melibatkan operasi Hezbollah di Lubnan.
Iran dianggarkan mempunyai peluru berpandu balistik yang sangat canggih dan mungkin akan digunakan dalam serangannya terhadap Israel.
Sabtu lepas, Perbadanan Penyiaran Israel berkata, Tel Aviv kini bersedia untuk sebarang tindak balas yang diselaraskan antara Iran dan kumpulan bersekutu di Yemen, Lubnan, Syria dan Iraq.
Laporan itu mendakwa, tindak balas tersebut mungkin melibatkan pelancaran peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.
Shin Bet didakwa meningkatkan tahap keselamatan untuk Netanyahu dan menterinya sebagai persediaan tindak balas Iran terhadap pembunuhan komander Hezbollah, Fuad Shukr dan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh, minggu lalu.
Kerajaan Israel juga mengagihkan telefon satelit kepada menteri dan pegawai kanan berikutan kebimbangan terhadap rangkaian komunikasi yang mungkin menjadi sasaran.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth juga melaporkan tentera meminta beberapa kilang di utara Israel untuk mengosongkan stok gas toksik kerana bimbang menjadi sasaran Hezbollah.-AGENSI










