DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dipercayai mendarat di pangkalan tentera udara India pada kelmarin, selepas meninggalkan negaranya berikutan demonstrasi besar-besaran menentang pemerintahannya, menurut media tempatan India.
Hasina berada di atas pesawat Tentera Udara Bangladesh yang mendarat di pangkalan Tentera udara India di Ghaziabad, berhampiran ibu negara New Delhi.
Terdahulu, ketua Angkatan tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan kerajaan sementara selepas Hasina melarikan diri dari negara itu di tengah-tengah protes ganas di seluruh negara.
Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, demikian menurut akhbar harian nasional Prothom Alo.
Semalam, Hasina meletak jawatan dan dilapor meninggalkan negara itu, di tengah protes antikerajaan yang semakin meningkat.
South China Morning Post melaporkan, orang ramai mengibarkan bendera dan meraikan berita yang dianggap gembira itu secara aman.
Sementara itu, sumber rapat dengan pemimpin tersebut mendakwa, Hasina sudah meninggalkan istananya di ibu negara untuk ke tempat yang lebih selamat.
Anak lelaki Hasina mendesak pasukan keselamatan negara untuk menghalang sebarang rampasan kuasa daripada pemerintahannya.
Manakala, seorang penasihat kanan mendakwa peletakan jawatannya adalah ‘kemungkinan’ selepas disoal sama ada beliau akan berhenti, lapor agensi berita itu.
“Beliau mahu merakam ucapan, tetapi tidak mendapat peluang untuk berbuat demikian,” kata sumber rapat dengan Hasina.-AGENSI










