Safuwan enggan dabik dada

Safuwan enggan dabik dada

SAFUWAN BAHARUDIN - Ihsan Facebook Selangor FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin enggan mendabik dada apabila menjaringkan hatrik ketika menewaskan Terengganu FC 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Kejayaan itu membolehkan Selangor FC layak ke final Piala FA buat kali kesembilan selepas mencipta kemenangan agregat 6-4. Kali terakhir mereka melakukannya pada 2018 namun tewas 0-2 kepada Pahang.

Pemain kelahiran Singapura itu berkata kejayaannya hadir menerusi kerjasama daripada rakan sepasukannya apabila menterjemahkan setiap peluang kepada jaringan.

“Bukan perkara mudah (hatrik). Saya rasa bukan saya seorang yang memberi sumbangan pada malam ini. Keseluruhannya, sepakan bola mati dan rutin, kita tahu kita agak bahaya dengan bola mata. Itu kuncinya.

“Voli (gol) itu lebih kepada naluri. Bukan sesuatu yang kami usahakan dalam latihan tapi kelebihan malam ini adalah peluang yang kami ada ditukarkan kepada gol,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Dalam aksi tersebut, pasukan tuan rumah memperoleh dua gol pantas daripada tandukan Safuwan hasil sepakan penjuru Yohandry Orozco masing-masing pada minit ketiga dan keenam.

Satu lagi gol Safuwan dihasilkan pada minit ke-54 menerusi sepakan voli.

Pemain gantian Selangor FC, Reziq Bani Hani meledak gol keempat pasukan pada masa tambahan babak kedua manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Ismaheel Akinade pada minit ke-22.

Safuwan berkata lagi selepas beberapa perkara negatif menyelebungi pasukannya mereka berjaya menukarkannya kepada aura positif dan diterjemahkan pada perlawanan tersebut.

“Saya rasa bukan hanya gol saya tetapi keseluruhannya perlawanan ini lebih baik untuk kami daripada segi menyerang, bertahan dan kami bermain dengan baik dalam satu unit.

“Kredit kepada pemain, kami menghadapi tiga perlawanan dalam lapan hari dan bukan mudah. Kami perlu rehatkan minda dan ambil satu perlawanan pada satu masa,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN