BANGKOK: Pemimpin parti pembangkang, Parti Move Forward (MFP) Thailand berikrar menubuhkan parti baharu susulan pembubarannya semalam selepas gagal dalam cubaan untuk meminda undang-undang penghinaan raja yang melindungi monarki daripada kritikan.
Pemimpin parti berkenaan, Sirikanya Tansakun berkata, pihaknya akan mengumumkan pembentukan parti baharu esok untuk meneruskan perjuangan politik mereka.
Sirikanya tidak menolak kemungkinan parti baharu itu akan terus membincangkan isu Artikel 112 Kanun Keseksaan, yang merupakan punca pembubaran MFP atas alasan keputusan mahkamah tidak secara khusus melarang pindaan terhadap artikel tersebut.
“Semua orang percaya bahawa artikel tersebut bermasalah. Namun, kita perlu membincangkannya dengan lebih terperinci apabila kita berpindah ke tempat baharu,” katanya pada satu sidang media selepas keputusan mahkamah semalam.
Sirikanya dijangka mengetuai parti politik baharu itu susulan larangan berpolitik yang turut dikenakan terhadap pemimpin-pemimpin MFP termasuk pengasasnya, Pita Limjaroenrat.
“Kami akan meneruskan dan tidak akan meninggalkan misi yang diamanahkan kepada kami selagi rakyat berada di sisi kami,” katanya seperti laporan portal berita Thai PBS World.
Parti Move Forward mempunyai 148 ahli Parlimen sebelum pembubaran, namun lima daripada mereka kehilangan status terbabit akibat keputusan mahkamah.
Pita semalam berkata, beliau akan meneruskan aktiviti politiknya sebagai rakyat biasa selepas keputusan mahkamah melarang pembabitannya sebagai ahli politik selama 10 tahun.
“Kita mungkin berduka atas apa yang berlaku hari ini, tetapi esok kita akan melukis garis dan melintasinya. Segala kemarahan akan kita salurkan ke dalam setiap peti undi,” katanya dalam usaha menenangkan penyokongnya yang marah di ibu pejabat parti.- AGENSI











