SHAH ALAM: Allahyarham Muhammad Nidza Afham mula berjoging selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di bahagian lutut kaki kanannya, lebih sebulan lalu.
Adik Allahyarham, Aufahanie berkata, abangnya seorang aktif sukan yang suka bermain pelbagai sukan seperti bola sepak, futsal, badminton dan lain-lain lagi.
“Namun, abang mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya selepas bermain bola sepak dengan rakan-rakannya, beberapa bulan lalu.
“Doktor menasihatkan abang supaya berehat untuk beberapa bulan sehingga lututnya pulih,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA), di sini hari ini.
Bagi memastikan badan sentiasa ‘fit’, Aufahanie memaklumkan Allahyarham sentiasa joging di beberapa tempat di sekitar Klang dan Shah Alam, termasuk Stadium Sultan Sulaiman, Klang.
Pada masa sama, katanya, aktiviti larian tersebut dapat menguatkan lutut abangnya, sekali gus mempercepatkan penyembuhan anggota badan itu.
“Jadi bukan sesuatu perkara yang pelik bila abang pergi berjoging. Dia memang hendak pastikan badannya sentiasa ‘fit’.
“Tapi, apa boleh buat. Allah sayangkan abang lebih dari kami,” katanya dengan nada sayu.
Sementara itu, Aufahanie memaklumkan proses bedah siasat tubuh Allahyarham telah bermula pukul 11.15 pagi dan dijangka siap pukul 3 petang.
Selepas bedah siasat, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor bagi upacara solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Asar. – UTUSAN










