PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou memulakan kempennya pada temasya 2024 di Paris, Perancis dengan kemenangan ke atas wakil Poland, Bartlomiej Mroz dalam saingan Kumpulan A di Arena Porte de La Chapelle, hari ini.
Liek Hou yang meletakkan sasaran mempertahankan pingatnya itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set ke atas Mroz 21-10, 21-6 bagi perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan atas badan).
Anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu yang merupakan juara dunia bakal berdepan wakil tuan rumah, Meril Loquette dalam perlawanan keduanya, Sabtu ini.
Turut diundi dalam kumpulan sama dengan Liek Hou, 36, ialah pemenang pingat gangsa temasya di Tokyo, Suryo Nugroho dari Indonesia.
Seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam kategori sama, Muhammad Fareez Anuar turut melakar kemenangan ke atas Fang Jen Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Esok, Anuar bakal berdepan laluan yang cukup getir apabila turun beraksi menentang pemenang pingat perak temasya empat tahun lalu, Dheva Anrimusthi dari Indonesia.
Selain Dheva, atlet berusia 28 tahun itu juga akan menghitung pertemuan dengan pemain Jepun, Taiyo Imai dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.
Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia, Noor Azwan Noorlan dan Mohd Amin Burhanuddin tumpas dalam perlawanan pertama masing-masing.
Noor Azwan yang beraksi dalam Kumpulan B bagi kategori WH2 (berkerusi roda), tunduk kepada Daiki Kajiwara dari Jepun 21-17, 13-21, 16-21.
Mohd Amin pula bertarung sengit dengan pemain India, Sukant Kadam sebelum kecundang 21-17, 15-21, 20-22 dalam perlawanan Kumpulan B untuk kategori SL4 (kecacatan bawah badan). – UTUSAN










