MELIHAT ibu empat anak ini membeli beberapa set lego, mungkin ada yang menganggap ia untuk permata hatinya.
Sangkaan itu meleset kerana barangan permainan tersebut adalah untuk dirinya.
Ida Kamilia Mudzakir, 43, dari Skudai, Johor merupakan pengumpul koleksi cenderamata berasaskan peti dan pejabat pos di samping surat.
Apa jua barangan yang memaparkan ketiga-tiga bentuk atau imej berkenaan termasuk mainan akan segera dibelinya.
Hingga kini, bilangan koleksinya mencecah hampir 50 jenis meliputi peti dan pejabat pos di samping rumah, beg, tabung, jigsaw puzzle dan pelekat.
Istimewanya, ia tidak hanya terhad kepada Pos Malaysia, sebaliknya turut melibatkan firma kurier luar negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat.
Penolong jurukur di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) ini berkata, minat pada cenderamata berkaitan pos mula dipupuk sejak 2020 lagi.
Ia merupakan kesinambungan daripada aktiviti mengumpul setem yang menjadi hobinya hampir 30 tahun lalu.
“Masa kecil dahulu, saya dapatkan setem daripada suratsurat yang dibawa emak dari pejabat, semuanya setem terpakai kerana tidak mampu membeli keluaran baharu.
“Akibat sibuk bekerja dan menguruskan anak-anak, hobi itu tergendala lama tetapi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya terpanggil untuk meluaskan hobi lateli dengan cara mengumpul cenderamata pos.
“Sekurang-kurangnya saya dapat mengimbau kenangan zaman sekolah semasa mengumpul setem dan mendedahkan anak-anak pada fungsi jaringan telekomunikasi yang diterajui pihak Pos Malaysia,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Dalam masa sama, ia mampu menghilangkan tekanan setelah penat bekerja. Kesemua cenderamata itu dibelinya di kedai-kedai mahupun di platform dalam talian.
Katanya, tidak ramai individu di negara ini yang mengumpul barangan berkenaan kerana kesukaran mendapatkan produk-produk di pasaran.
Lazimnya ia dijual pada musim-musim tertentu seperti Hari Kemerdekaan atau Hari Pos.
“Disebabkan tiada penjual khusus mengeluarkan barangan ini, saya perlu berusaha keras memerhatikan di kedai-kedai mahupun dalam talian jika terdapat produk berbentuk peti dan pejabat pos atau berlambang surat.
“Jadi jangan terkejut bila tengok saya beli lego untuk diri sendiri hanya semata-mata kerana permainan itu berasaskan peti pos atau rumah yang memiliki peti surat,” katanya.
NILAI TAMBAH PADA KOLEKSI
Dek kerana hobi itu, nama Ida Kamilia menjadi sebutan dan menonjol dalam kalangan pengumpul filateli lain.
Rata-ratanya terpikat dengan koleksinya dan tidak sangka cenderamata sedemikian ada dijual di pasaran.

“Kita ada ramai pengumpul setem di Malaysia, tetapi kelebihan saya adalah kerana memiliki koleksi cenderamata berbentuk peti dan pejabat pos.
“Dalam masa sama, ia memberi nilai tambah pada saya apabila menyertai sebarang pameran filateli,” katanya.
Cenderamata yang paling menjadi tarikan ramai ialah peti pos Thailand yang menampilkan enam bentuk berbeza mengikut tahun.
Dia kini hampir melengkapkan keseluruhan lapan bentuk peti dari negara berkenaan.
“Selain itu, saya juga menyukai rekaan pejabat pos AS yang cantik tetapi masih belum mampu untuk memilikinya kerana faktor harga,” ujarnya.
Katanya, peti pos di seluruh dunia melalui proses evolusi tersendiri sama ada berbentuk petak, bulat dan seperti tiang dengan kotak kecil di atasnya.
Orang ramai bukan sekadar dapat melihat bentuknya yang cantik, bahkan memahami kisah-kisah sejarah yang terkandung di sebalik penggunaan setiap peti-peti berkenaan.
Setakat ini, hampir RM5,000 sudah dibelanjakan wanita ini bagi membeli kesemua koleksi cenderamata itu.
“Hobi ini tidak terlalu mahal kerana harganya bermula serendah RM2.40 sehingga RM150 bagi seunit.
“Biasanya, jika nilai itu melebihi RM150, saya akan berdikit-dikit menabung dan tidak terus membeli bagi mengutamakan keperluan lain,” katanya yang memiliki anak berusia lapan hingga 15 tahun.

HOBI SATUKAN MASYARAKAT
Minat mendalamnya itu turut disokong keluarga dan kenalan, malah mereka turut membantunya mendapatkan sebahagian koleksi dimiliki.
Setiap kali ternampak barangan berasaskan pos, rakan karib dan sekerjanya akan memaklumkan tentang produk itu. Selain itu, mereka turut menghadiahkannya produk-produk berkenaan.
“Walaupun, kawan-kawan suka mengusik hobi saya pelik tetapi mereka sentiasa menyokong minat saya.
“Misalnya, bagi lego, kebiasaannya ia dipasang oleh anak ketiga saya, Mohammad Ammar Mohammad Syamsul yang berusia sembilan tahun dan seorang rakan di pejabat,” katanya.
Setiap koleksi cenderamata pos bersama setem miliknya ditempatkan di ruangan khas di rumah yang dipanggil sudut filateli.

Bahkan, wanita itu juga gemar melawat pejabat-pejabat pos di negara ini sama ada ketika melancong mahukan terlibat tugasan luar.
“Baru-baru ini saya berkunjung ke Port Dickson dan tidak melepaskan peluang bergambar di Pejabat Pos Malaysia di pekan kecil itu bersama empat anak.
“Ketika bertugas di Singapura, saya meluangkan masa ke pejabat pos untuk menghantar poskad kepada diri sendiri,” katanya.









